DS DR MUJAHID YUSOF
Bahasa utara guna istilah ‘pakat bedak’ (bukan bedak talkum) dengan makna ambil habuan masing-masing. ‘Ghanimah’ pula dari bahasa Arab makna harta rampasan perang yang dibahagikan. ‘Bedak ghanimah’ untuk kerajaan PN ialah bagi habuan jawatan masing-masing.
PM 8 tadbir negara dengan desakan parti bersamanya tuntut ghanimah masing-masing sebagai habuan. Untuk rekod, semua mereka berada di pesada kuasa hari ini atas konspirasi jahat dengan membelakangkan mandat rakyat. Atau istilah yang dipakai ‘pintu belakang’ dan ‘tebuk atap’.
Walaupun semasa PH memerintah COVID 19 telahpun merebak, ini tidak menghalang langkah sheraton dari diteruskan dan mereka tahu risiko tindakan jahat mereka amat merbahaya kepada negara. Golongan tebuk atap kecewa sebab isu penggantian kepimpinan telahpun disetelkan pada Majlis Presiden PH pada 21hb Feb. Episode pengkhianatan seterusnya sudah diketahui umum.
Bukti pakat bedak ghanimah dapat dilihat betapa besarnya anggota kabinet PM 8 hari ini. Dalam arus gelombang COVID 19, PM 8 mendahulukan ghanimah daripada fokus untuk kecilkan saiz kabinet. Jika PM 8 tidak tebuk atap, perlantikan menteri yang kritikal sahaja diperlukan pada masa krisis pandemik ini sekaligus menjimatkan kantung negara.
Perlantikan terkini Presiden PAS (rakan konspirator PM8) sebagai Duta Khas PM ke Timur Tengah bertaraf menteri adalah satu lagi bukti ‘pakat bedak ghanimah’. Walhal dasar Timur Tengah untuk kepentingan negara tidaklah kritikal berbanding kepentingan Asean dan China.
Perlukah Duta Khas? Ia perlu jika untuk ‘bedak ghanimah’ tetapi untuk pentadbiran negara ia tidak diperlukan kerana wakil Suruhanjaya Tinggi dan Kedutaan kita sudah memadai. Hubungan Timur Tengah lebih kepada kebudayaan, pendidikan, keagamaan dan isu Palestine yang menjadi tumpuan seluruh dunia Islam.
Lagipun pergolakan geo-politik dan penggunaan keganasan mazhab serta kelompok takfiri menjadikan Timur Tengah atau Asia Barat zon konflik tidak berkesudahan. Apa kepentingan negara dalam pergolakan ini? Sikap kita selama ini adalah kekal berkecuali walaupun pada waktu yang sama kita ada kepentingan hubungan dengan mereka. Apakah Menteri Luar Negeri tak layak tangani perkara asas ini?
Duta Khas mewakili PM seharusnya membawa agenda antarabangsa yang lebih terbuka, progresif dan pulangan kepada negara, sudahkah diambil kira gaya berfikir Presiden PAS ini? Perlukah perlantikan ini pada masa impak COVID 19 dan pasca krisis ini menuntut tumpuan kepada pembinaan dalaman negara dan bukan polisi antarabangsa?
Jawapannya tidak perlu jika PM 8 benar-benar nak jaga negara tapi sangat perlu jika PM 8 kena pakat ‘bedak ghanimah’ dan itulah sahaja habuan Presiden PAS buat masa ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan