"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tindakan tegas ahli keluarga ‘sembunyi’ jemaah tabligh enggan buat saringan - menteri

Adam Abu Bakar
KUALA LUMPUR:
Tindakan tegas akan diambil terhadap ahli keluarga jemaah tabligh yang bertindak menyembunyikan maklumat mengenai ahli keluarga yang hadir ke himpunan tabligh pada awal Mac lalu.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, tempoh menasihati baki jemaah tabligh yang masih enggan membuat ujian kesihatan sudah tamat, apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) sudah masuk ke fasa ke-2.

“Sudah sampai masanya. Ini sudah minggu kedua, kali ini kita akan ambil tindakan tegas. Saya tidak mahu perkara ini saya luahkan, tetapi sudah sampai masanya. Hal ini kerana ribuan yang datang daripada kluster tabligh, sebab itu kita minta mereka keluar. Kita hendak mereka buat saringan sahaja.

“Kalau sesiapa tahu, contohnya dalam keluarga dia ada yang positif dan 5 orang yang pergi buat saringan, bila ditanya dari mana mereka dapat, dan didapati ada ahli keluarga kluster tabligh, kita akan ambil tindakan tegas,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Hamzah bagaimanapun enggan mendedahkan bentuk tindakan yang akan diambil terhadap ahli keluarga yang menyembunyikan maklumat penglibatan ahli keluarga mereka dalam ijtimak tabligh awal Mac lalu.

“Kita hanya akan beritahu apabila tindakan sudah diambil. Hari ini saya cuma berikan amaran, tetapi esok kita akan mula kuat kuasakan. Ini sudah masuk minggu ke-2, kita mahu putuskan rantaian wabak Covid-19 ini,” katanya.

Hamzah turut memaklumkan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak menyebarkan berita dipercayai boleh mengugat ketenteraman awam berhubung Covid-19 ini.

“Wabak Covid-19 ini bukan kenal bangsa Melayu, Cina atau India, bahkan ia juga tidak mengenal agama.
“Daripada data yang kita ada, wabak ini menyerang tidak mengira pangkat, tidak kiralah pangkat besar atau kecil.

“Maka jangan ada yang buat berita boleh pecahkan perpaduan dalam negara. Jika ada lagi, kita akan ambil tindakan tegas. Apa yang boleh kita buat adalah dengan saling bekerjasama antara satu sama lain,” katanya

Tiada ulasan: