Shahbudin Husin
Berikutan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Muhyiddin Yassin Jumaat lalu, termasuk pemberian bantuan tunai selama dua bulan kepada rakyat yang terjejas dengan penularan wabak Covid-19, Kementerian Kewangan semalam mengumumkan pembayaran akan mula diagihkan pada penghujung April ini.
“Pembayaran itu akan dibuat dalam dua fasa iaitu pada akhir bulan April dan Mei 2020,” kata kenyataan itu.
Pembayaran tunai yang dinamakan Bantuan Prihatian Nasional atau BPN itu dianggarkan bernilai kira-kira RM10 bilion.
Bayaran BPN merangkumi kategori berikut:-
• RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April dan RM600 pada bulan Mei.
• RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada bulan April sebanyak RM500 dan baki RM500 pada bulan Mei.
• RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada bulan April dan baki RM300 pada bulan Mei.
• RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada bulan April dan baki RM250 pada bulan Mei.
Menurut kenyataan itu lagi, mereka yang belum berdaftar dan tidak pernah menerima skim Bantuan Sara Hidup (BSH) atau dikenali BR1M sebelumnya, permohonan baru boleh dibuat mulai 1 April 2020 menerusi laman web rasmi LHDNM – www.hasil.gov.my.
Bagaimanapun, berdasarkan respon di media sosial, ramai yang mempertikaikan bayaran BPN yang akan dibuat pada penghujung April itu.
Rata-rata mengatakan pembayaran yang bermula pada penghujung April itu terlalu lewat memandangkan umat Islam akan mula menyambut puasa pada 24 April 2020.
Dengan itu, terutamanya kepada pekerja bergaji harian yang sudah tiada pendapatan sejak 18 Mac sebaik saja PKP dikuatkuasakan, bermakna mereka akan menanggung kesengsaraan hidup yang agak lama sebelum dapat menerima wang BPN pada penghujung April akan datang.
Setelah hampir sebulan setengah tidak ada pendapatan sejak 18 Mac dan kemudian bantuan BPN hanya diterima pada penghujung April, ketibaan Ramadan bermula 24 April langsung tidak memberi apa-apa makna kepada mereka.
Oleh kerana persiapan menyambut Ramadan perlu dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sebelum itu, terutama bagi yang mempunyai keluarga ramai, bayaran BPN yang munasabah sebenarnya ialah pada pertengahan April.
Dalam hal ini, adalah penting untuk kerajaan mempercepatkan bayaran, terutama kerana sebahagian besar pemohon sudah pun berdaftar dengan LHDNM atas kapasiti penerima BSH sejak bertahun-tahun lalu.
Bagi pemohon baru, terutama daripada golongan M40, jika bayaran dibuat pada penghujung April, mungkin ia tidak mendatangkan banyak masalah bagi mereka.
Tetapi, bagi golongan B40 dan mereka pula sudah berdaftar dengan LHDNM, tidak ada sebab bantuan kepada mereka dilewatkan sehingga penghujung April juga.
Selewat-lewatnya, wang bantuan mesti dimasukkan ke dalam akaun bank mereka pada pertengahan April.
Lagi pun, dengan nama bantuan itu sendiri dinamakan Bantuan Prihatian Nasional, kerajaan sesungguhnya wajib menunjukkan keprihatinan yang tinggi dalam perlaksanaan bantuan tunai itu.
Mana yang boleh dipermudahkan, mudahkanlah dan mana yang boleh dipercepatkan, ia harus dicepatkan.
Janganlah nama saja prihatin, tapi dari segi perlaksanaan, ia langsung tidak prihatin!! (ShahbudinHusin 30/03/2020)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan