NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan dalam Tahanan (Edict) meminta polis menjelaskan bagaimana insiden seorang tahanan yang bergari boleh terjatuh sehingga maut di Kompleks Mahkamah Georgetown.
"Kami menerima laporan bahawa Wong Kok Leong, 30, ditemui mati dengan tangan bergari setelah jatuh dari tingkat atas kompleks mahkamah pagi semalam," kata jurucakap Edict kepada Malaysiakini.
"Sangat mengejutkan seseorang yang masih digari ditemui mati setelah jatuh dari tingkat atas mahkamah, yang seharusnya menjadi tempat paling selamat bagi tahanan.
"Kematian seperti ini telah menjadi kebiasaan. Edict sangat bimbang terhadap trend kematian seperti ini tanpa campur tangan pihak berkuasa," tegasnya.
Edict berkata ia juga dimaklumkan mengenai kes kedua melibatkan kematian seorang tahanan Indonesia di Penjara Sungai Buloh.
"Banduan itu dikatakan mengadu sakit perut akibat keracunan makanan pada bulan Jun dan meninggal dunia selepas itu tetapi kes itu hanya diketahui oleh Edict semalam ketika rakan sekerjanya menghubungi kami untuk mendapatkan bantuan dalam menyiasat kes tersebut," jelasnya.
Edict berkata, polis belum mengeluarkan kenyataan mengenai kedua-dua kematian tersebut dan menggesa inkues ditubuhkan bagi melakukan siasatan seperti yang terkandung dalam seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah.
"Pihak yang terlibat tidak mesti hanya berpuas hati dengan siasatan polis sahaja," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi pegawai polis Pulau Pinang dan Penjara Sungai Buloh untuk mendapatkan reaksi berhubung kematian tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan