"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zuhdi mengaku usaha gabung dengan Umno bermula 2011 lagi

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, langkah menyatukan kaum Melayu melalui usaha bergabung dengan Umno sebenarnya telah dilakukan sejak tahun 2011 lagi.

Bagaimanapun beliau menyalahkan dengan mendakwa ada di antara pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dahulunya berada di dalam Pas, tidak bersetuju dengan langkah tersebut.

“Saya yang mengusahakan penyatuan umat Melayu sejak 2011 lagi.

“Memang ramai dalam Pas yang tak setuju masa itu termasuk yang berada dalam PAN (AMANAH) sekarang. Alhamdulillah sekarang berhasil,” kata orang kanan Pusat Penyelidikan PAS (PPP) itu menerusi satu komen di facebook.

Sebelum ini, Pas menafikan sekeras-kerasnya andaian yang mengatakan parti itu akan bergabung dengan parti Umno.

Pada 2015, Pas menyifatkan isu yang digembar gembur mengaitkan parti itu akan bekerjasama apatah lagi bergabung dengan Umno. Ia hanyalah impian DAP semata-mata dan bukannya impian Pas.

Malah, Pas pada 2018 sekali lagi mendakwa tuduhan berkenaan sebagai fitnah dan ianya adalah rekaan jentera Pro-DAP sejak tahun 2007 lagi untuk memberi persepsi buruk kepada mereka.

Bagaimanapun semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mendedahkan usaha untuk Pas bekerjasama dengan Umno telah dimulakan sejak tahun 2015 lagi khasnya sebaik sahaja beliau jadi Setiausaha Agung parti.

Beliau berkata, Muafakat Nasional (MN) yang menggabungkan Pas dan Umno perlu dipertahankan sampai bila-bila sebagai benteng kekuatan orang Melayu di negara ini.

“Usaha ke arah penyatuan Melayu dimulakan sejak 2015 selepas saya diamanahkan sebagai Setiausaha Agung Pas, usaha itu atas arahan Presiden,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Pas Kota Bharu di Dewan Jubli Perak MPKB BRI semalam.

Sementara itu, membalas komen Mohd Zuhdi di Facebook, pengguna Helmi Amir berkata apa yang berlaku membabitkan ketidakjujuran kepada ahli.

Katanya, Pas seharusnya membahaskan usul tersebut sejak dari 2011 lagi di dalam mesyuarat khas parti agar ahli tidak bergaduh sesama mereka.

“Saya tiada masalah Pas nak bergabung dengan mana-mana entiti termasuk Umno sekalipun.

“Isu di sini, kejujuran kepada ahli. Kan molek nak bergabung dengan Umno buat mesyuarat khas membahaskan usul ini dari 2011 lagi.

“Tidaklah sesama ahli bergaduh isu ini dan pimpinan pulak nafi perkara sebenar,” tulisnya.

Tiada ulasan: