"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

INIKAH INDIVIDU ISTIMEWA LUAR TERENGGANU YANG PEGANG BERBELAS JAWATAN DALAM GLC NEGERI?

Shahbudin Husin
Dua hari lalu, bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said mempersoalkan tindakan Kerajaan Terengganu melantik individu tertentu memegang terlalu banyak jawatan penting dalam syarikat milik kerajaan negeri itu.

Beliau berkata, lebih mendukacitakan, individu yang mempunyai rekod tidak baik dan pernah dipecat turut dilantik memegang sehingga 13 jawatan termasuk pengerusi, ahli lembaga pengarah dan penasihat.

“Saya berasa dukacita apabila individu yang tidak mempunyai rekod yang bagus di Kelantan dan pernah dipecat tetapi hari ini mendapat gaji RM800,000 setahun iaitu kira-kira RM67,000 sebulan dengan dilantik menjadi pengerusi di sebuah syarikat, 11 pengarah dan turut menjadi penasihat.

“Seorang warga England pula dilantik menjadi pengerusi di enam buah syarikat dan pengarah di enam buah syarikat dengan gaji keseluruhan RM650,000 setahun.

“Itu masalahnya, sampai berbelas-belas bagai (jawatan). Tiada orang lainkah sehingga seorang pegang terlalu banyak syarikat.

“Hebat sangatkah dia? Mampukah tumpu kepada syarikat?

“Takkan tiada anak Terengganu yang berkemampuan,” katanya yang juga Adun Kijal ketika ditemui selepas Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, amalan melantik seorang individu memegang terlalu banyak syarikat tidak pernah dibuat semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Terengganu sebelum ini.

Menurutnya, paling banyak seorang individu dilantik memegang tiga jawatan dalam syarikat milik kerajaan negeri.

Terdahulu, semasa sesi perbahasan, Ahmad menegur pengurusan tadbir korporat kerajaan negeri kerana hampir kesemua lantikan lembaga pengarah melibatkan orang politik.

“Justeru, saya harap ia dapat diperbetulkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Persoalannya, siapa individu yang dimaksudkan Ahmad Said itu?

Sebagaimana tersebar luas di media sosial, apakah mereka ini individu istimewa yang dimaksudkan beliau itu?(Shahbudindotcom 12/08/2020)

Tiada ulasan: