"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tenangkah Bersatu bertiga dengan Umno dan Pas?

ARIF ATAN

Krisis politik Perak sejak 4 Disember lalu akhirnya menyaksikan Bersatu yang hanya memiliki lima kerusi tunduk kepada Umno yang mempunyai 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kelopak bunga raya lunyai dicantas hanya dengan muncung keris yang masih tajam dahagakan kuasa.

Ketiga-tiga Presiden dari Umno, Bersatu dan Pas semalam akhirnya menghadiri mesyuarat membincangkan pembentukan kerajaan baharu di Perak dan memuktamadkan pemilihan Menteri Besar ke-14.

Turut hadir Setiausaha Agung parti masing-masing iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin (Bersatu), Tan Sri Annuar Musa (BN) dan Datuk Takiyuddin Hassan dari Pas.

Takiyuddin yang berkongsikan gambar mereka berenam di Facebook menyifatkan pertemuan itu sebagai “demi rakyat muafakat dimeterai”. Walau tampak mereka harmoni tetapi mustahil taufan tidak membadai di hati. 

“Alhamdulillah, demi rakyat muafakat dimeterai. Utamakan persamaan yang terlalu banyak jua berbanding dengan perbezaan yang teramat sedikit cuma.

“Tahniah Kerajaan PN (Perikatan Nasional) Perak dikekalkan. Umno + Pas + Bersatu = #kitabertiga,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Jika mengikut sifir politiknya, kerajaan PN Perak kekal tidak bercanggah dengan undang-undang tubuh kerajaan negeri.

Sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) pula buat kesekian kalinya terus menjadi bahan tawa penyokong membuta tuli ‘kerajaan Melayu Islam tanpa DAP’.

Namun, dari segi moralnya, PN sudah lebur. Nasi pun sudah menjadi bubur. Lebih-lebih lagi Bersatu yang terlebih awal tidak bermoral apabila mengkhianati PH di peringkat nasional pada Februari lalu.

Hanya yang berubah ialah jawatan Menteri Besar ke-14 yang secara rasmi hari ini berjaya dirampas Umno dari tangan kecil Bersatu.

ADUN Kota Tampan dari Umno, Datuk Saarani Mohamad pun sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak baharu.

Sudah tentu dalam hati Bersatu terpendam sumpah seranah dalam hubungan “bertiga” mereka yang bila-bila masa sahaja akan dimuntahkan.

Kejayaan Umno mengangkat Saarani, 59, menghayun tamparan menyakitkan buat Bersatu khususnya Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sudah molek rakan-rakan dalam PH tidak mengusik kerusi Menteri Besar didudukinya sebelum ini, ADUN Chenderiang itu sendiri pula sanggup berpaling tadah.

Kekecewaan PH Perak pada 9 Mac lalu apabila Peja mengesahkan bahawa Bersatu memilih untuk bersama Umno dan Pas kini sudah berbalas.

Ibarat menantikan wanita bersalin, selepas sembilan bulan, Peja menutup tirai tahun 2020 dengan merasakan getirnya dikhianati Umno yang cerdik melakukannya secara ‘halal’ melalui proses usul undi percaya dalam sidang DUN.

PH Perak yang pada Mac lalu terusir hingga “cinta dan harapan, dibunuh dan mati” bak kata lirik lagu Teroesir (Menunggu Karma) oleh Nidji, hari ini boleh tersenyum di sebalik pelitup muka dengan nasib yang menimpa Peja.

Pada 12 Mei lalu, persidangan DUN Perak kecoh apabila Peja mengemukakan usul supaya pemimpin DAP, Datuk Ngeh Koo Ham meletak jawatan sebagai Speaker dengan digantikan Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Namun, Mohamad Zahir yang juga ‘orang Umno’ jugalah yang menerima usul undi percaya dengan hujah perkara itu tidak melanggar peraturan dewan dan “bukan satu kejanggalan di luar tabii”.

Berselidung di sebalik istilah usul undi percaya, ADUN Pengkalan Baru dari Umno, Datuk Abd Manap Hashim yang membawa usul itu pun kemudiannya tidak menyokong usulnya sendiri.

Walaupun difahamkan semasa penghujahan, Peja dilambung puji sebagai Menteri Besar, tetapi Ahli Parlimen Tambun itu kemudiannya hanya mendapat 10 undi berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

‘Geng Peja’ yang 10 orang itu termasuk Pas dengan ADUN Gunong Semanggol, Razman Zakaria menjadi wakil kerajaan tunggal berbahas menyokong usul undi percaya berkenaan.

Tidak hairanlah ‘Langkah Perak’ yang membawa kepada kejayaan Umno menjatuhkan Peja itu kemudiannya dilihat mendorong Ahmad Zahid selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) memohon maaf kepada Muhyiddin sebagai Pengerusi PN.

Dalam pertemuan di Parlimen semalam, Ahmad Zahid telah menyampaikan penyataan maaf bagi pihak ADUN-ADUN BN Perak atas apa yang dipanggilnya “kekhilafan” yang berlaku.

Khilaf dan khianat begitu tipis takrifannya dalam hubungan bertiga – Umno, Bersatu dan Pas – yang saling syak wasangka. Tenangkah Bersatu menatang kuasa bertiga dengan Umno, Pas?

Sampai bilakah PN lebih-lebih lagi Umno dan Bersatu di Perak dan juga di peringkat nasional akan dapat bertahan dan terus sepakat sekurang-kurangnya hingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)?

Bagaimana perebutan pelbagai jawatan dan pelantikan di dalam kerajaan negeri dapat ditangani ketika parut besar Bersatu akibat ‘cedera parah’ selepas ‘dikhianati’ Umno masih perit terasa?

Apapun, sejarah politik negara khasnya di Perak sudah terakam. Peja dan Bersatu bakal menjadi contoh dan rujukan bagaimana rakan teraniaya yang menunggu karma itu tidak sia-sia.

Dalam masa sama, Umno dan sifat ‘abang long’ tidak pernah berubah. Umno sentiasa menanti peluang sesuai untuk merampas kuasa.

“Umno kini dalam landasan untuk kembali berkuasa penuh. Ia mahu monopoli segala sumber politik dan ekonomi, seperti selama 61 tahun memerintah dahulu. Igauan buruknya tentang PRU14 seakan berakhir.

“Daripada parti yang nampak usang dan lapuk, serta ditolak rakyat kerana korupsi bertaraf mega, Umno sudah menguasai balik kerajaan Johor, Melaka dan terbaru Perak.

“Tunggulah komplotnya untuk kerajaan Persekutuan pula, Umno tengah merancang dengan rapi,” kata Ahmad Lutfi Othman, penganalisis politik, yang juga bekas Ketua Pengarang Harakah.

Tagar (tanda pagar) #kitabertiga yang nampaknya cuba digunakan Takiyuddin bila-bila masa akan dikhianati sesama mereka sendiri.

Ungkapan indah disebut Takiyuddin – “Demi rakyat muafakat dimeterai” – sekadar topeng yang dikitar semula. Sama juga halnya dengan ayat klise ‘demi agama dan bangsa’.

Muafakat PN yang dicanang dimeterai itu mungkin terburai menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana pertimbangan utama Umno, Bersatu dan Pas sebenarnya hanya demi kuasa.

Tiada ulasan: