Ng Xiang Yi
Umno Perak sedang mempertimbangkan secara serius kemungkinan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.
Namun, menurut sumber yang dekat dengan perbincangan yang sedang berlangsung, ada satu halangan dalam rencana ini iaitu Umno Perak tidak mahu DAP memegang jawatan eksekutif.
Umno dan DAP dilihat merupakan seterus tradisi dalam politik, dengan masing-masing meraih sokongan dengan mengkritik pihak lawan.
Justeru, kata sumber, sekiranya naratif itu berubah, ia kemungkinan akan menjejaskan kedudukan Umno di kalangan akar umbi.
Oleh itu, syarat Umno untuk membentuk kerajaan Perak yang baru adalah dengan menuntut hanya PKR dan Amanah yang akan dibenarkan menyertai kabinet baru, atau menjadi exco.
"Permintaan ini sama sekali tidak logik," kata sumber itu, sambil menyorot bahawa DAP, dengan 16 kerusi, adalah blok kedua terbesar di Perak selepas Umno yang memegang 25 kerusi.
Setakat ini, sekutu DAP, PKR dan Amanah tetap teguh bahawa PH harus diterima secara keseluruhan (en bloc) oleh Umno.
Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak telah menyatakan perkara ini sementara Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi memberitahu perkara yang sama kepada Malaysiakini.
"Kita (PH) akan masuk en bloc. Tak boleh lah ada yang tinggal, tak elok," kata Asmuni, yang juga merupakan Adun Manjoi.
Difahamkan, pemimpin Umno Perak bertemu rakan pemimpin PH semalam tetapi tidak mencapai kata sepakat yang muktamad.
Keputusan akhir kemungkinan akan bergantung pada hasil pertemuan oleh pemimpin Umno dan PH peringkat pusat pada hari ini.
Setakat ini, kepemimpinan tertinggi Umno dan DAP kelihatan terbuka terhadap idea kerjasama itu.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberitahu wartawan di Ipoh, Perak semalam bahawa semua cadangan akan dipertimbangkan.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, yang juga timbalan setiausaha agung parti itu, menulis surat terbuka dalam bahasa Cina untuk menjelaskan bahawa rundingan itu adalah peluang untuk mencapai tujuan keadilan, pemerintahan yang baik dan pelbagai budaya.
Namun, masa semakin suntuk untuk rundingan berkenaan.
Kerajaan Perak hanya mempunyai beberapa minggu lagi untuk sebelum perlu meluluskan belanjawan. Dewn Undangan Negeri akan bersidang sekali lagi pada hari Rabu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan