"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas hilang Exco selepas tidak dengar nasihat yang betul, kata Istana Perak

MALAYSIA DATELINE

Pas hilang Exco selepas tidak dengar nasihat yang betul, kata Istana Perak
Annuar Zaini mengulas kegagalan Pas untuk mendapat jawatan exco Perak

Pas kehilangan jawatan Exco Perak selepas tidak mendengar nasihat yang betul, kata Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, jurucakap Istana Perak.

“The price for not listening to the right advice (Harga kerana tidak mendengar nasihat yang betul),” tulis Annuar menerusi facebook beliau ketika mengulas berita Pas mungkin hilang jawatan Exco Perak selepas ingkar perintah Sultan Perak agar menghadap baginda.

Annuar sentiasa menjadi jurucakap Istana Perak ketika krisis pembentukan kerajaan Perak yang baharu selepas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijatuhkan dengan undi percaya oleh Umno.

Menurut laporan media, Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Saarani Mohamad menghantar lima nama untuk dilantik sebagai kumpulan pertama Exco Perak iaitu tiga dari Umno dan satu masing-masing dari Bersatu dan Pas.

Namun dilaporkan, hanya nama dari Umno dan Bersatu diterima tetapi tidak dari Pas.

Selepas kejatuhan Datuk Seri Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak, Istana telah memanggil kesemua wakil parti politik untuk menghadap baginda Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Namun tiga Adun Pas membatalkan upacara menghadap Tuanku Sultan Perak pada jam 3 petang pada 8 Disember lepas walaupun diperintahkan berbuat demikian oleh Sultan pada waktu itu.

Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria mengakui mereka tidak akan menghadap sultan pada waktu yang ditetapkan.

“Ya (batal),” katanya semasa diminta mengesahkan perkara itu.

Selepas menyedari kesan dari tindakan mereka itu, iaitu tidak mendapat jawatan Exco Perak itu, semalam ketiga-tiga Adun Pas itu mengutus surat memohon ampun dari baginda.

“Kami dengan rasa rendah hati menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Perak atas kekhilafan tidak menghadap sebagai mana titah ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan pada Selasa, 8 Dis pukul 3 petang,” tulis Razman Zakaria, Pesuruhjaya Pas Perak dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengutus surat memohon untuk menghadap dan memohon ampun dari baginda.

Tiada ulasan: