"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Satu persatu kluster mahkamah terlepas bukan hal yang mengejutkan, kata Zamir

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pembebasan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dari dua pertuduhan semalam dianggap sebagai hal yang amat malang, namun bukanlah perkara yang mengejutkan, kata Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional, Zamir Ghazali.

Beliau mendakwa, kluster mahkamah yang menganggotai parti itu berkuasa untuk menentukan dan memastikan kehendak mereka dituruti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

“Biarpun kluster mahkamah tidak ada jawatan dalam struktur pentadbiran, tetapi mereka ada jawatan dalam parti. Mereka semua ini bermesyuarat dan berjumpa dalam parti. Jadi mereka adalah penentu,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Tambah Zamir, selepas Umno menjadi kerajaan, helah yang digunakan untuk membebaskan diri mereka adalah dengan membuat ‘default’ di peringkat pendakwaan di mana pihak pendakwa raya boleh berperanan menjadikan kes tersebut tidak dibawa untuk perbicaraan atas alasan teknikal.

“Kita kena faham, disebabkan Ismail bukan Presiden Umno, jadi kalau beliau ingkar sehingga kluster mahkamah tidak dilepaskan, kemungkinan untuk tidak mendapat watikah bagi pilihanraya akan datang terlalu tinggi.

“Jadi kita lihat bagaimana kluster mahkamah ini berjaya dilepaskan satu persatu kerana kes mereka itu dibatalkan di peringkat kertas pendakwaan oleh pihak pendakwa raya sama ada peguam Hakim Negara dan juga Timbalan Pendakwa Raya.

“Inilah yang berlaku dan kita tak terkejut dengan keadaan ini. Apa yang berlaku ini adalah sesuatu yang sangat malang sekali kerana jumlah (pertuduhan) yang terlibat dalam isu rasuah oleh kumpulan kluster mahkamah ini, melibatkan wang rakyat yang bukan sedikit,” katanya lagi.

Mahkamah Tinggi pada semalam telah membenarkan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan dilepaskan dan dibebaskan daripada dua pertuduhan terhadapnya setelah beliau membayar kompaun RM1.1 juta.

Zamir sebelum ini lantang mengkritik dan menentang isu rasuah terutama berhubung ‘rasuah jawatan’ sehingga menyebabkan berlaku trend lompat parti besar-besaran.

Zamir merupakan AJK Pemuda AMANAH Nasional dan Ketua Pemuda AMANAH Terengganu

Secara ringkas, Zamir yang juga Ketua Pemuda AMANAH Terengganu itu tersenarai dalam barisan Pemuda AMANAH Nasional selepas menang bertanding pada 2019 dalam pemilihan AJK Pemuda AMANAH Nasional.

Pada pemilihan tahun itu juga, Zamir menang bertanding di tiga peringkat negeri iaitu Jawatankuasa AMANAH Negeri Terengganu, Jawatankuasa Pemuda AMANAH Negeri Terengganu dan AMANAH Kawasan Kuala Terengganu.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda AMANAH Terengganu mengantikan Hasbie Muda yang pada awalnya masih menyandang kedudukan tersebut, namun terpaksa melepaskan jawatan bagi memegang jawatan Naib Pengerusi AMANAH Terengganu.

Tiada ulasan: