"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isteri orang ditahan berkhalwat bersama kekasih

Nuraliawati Sabri

am@hmetro.com.my

Tangkap layar video tular wanita ditangkap khalwat dengan pasangannya yang didakwa berlaku di Melaka. FOTO Tular

Tangkap layar video tular wanita ditangkap khalwat dengan pasangannya yang didakwa berlaku di Melaka. FOTO Tular

Melaka: Video tular di media sosial yang didakwa membabitkan tangkapan kes khalwat seorang wanita berstatus isteri orang dengan seorang lelaki disahkan berlaku di negeri ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, kejadian itu berlaku di kawasan Bukit Katil di sini, pada 25 Ogos lalu.

Menurutnya, wanita berusia 35 tahun dan pasangannya berusia 33 tahun itu ditahan oleh imam kampung berkenaan selepas menerima maklumat mengenai perbuatan mereka.

"Saya mengesahkan tangkapan itu yang mana kedua-dua mereka juga didapati berstatus sudah berkahwin.

"Tangkapan itu dibuat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman atau berkurung sehingga mendatangkan syak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, siasatan ke atas pasangan itu kini berada di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan.

"Jaim sudah mengambil serta merakam keterangan kedua-dua individu itu dan kertas siasatan berada di peringkat akhir.

"Saya berterima kasih kepada orang awam yang bekerjasama dengan Jaim dalam memberikan maklumat menerusi kempen Bencikan Maksiat," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya amat mengalu-alukan maklumat awam dan penduduk setempat dalam melaporkan sebarang kegiatan maksiat menerusi aplikasi Whatsapp di 017- 2621280.

Terdahulu, tular di media sosial dua video yang mendakwa seorang suami yang pulang untuk mengambil barangan jualan yang tertinggal sebelum terserempak dengan seorang lelaki berada di dalam rumah bersama isterinya.

Tiada ulasan: