"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Takkan tunggu lebih ramai korban baru Muhyiddin berundur

Hassan Abdul Karim 

Banyak hujah dapat disenaraikan satu persatu sebagai bukti kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melawan Covid-19. Justeru Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ketua kabinet perlu memikul tanggungjawab.

Meminta perdana menteri yang beragama Islam meletak jawatan semasa Ramadan bukanlah suatu tuntutan yang molek. Serba salah dibuatnya.

Tetapi memandangkan dalam sejarah Islam peperangan pun pernah berlaku semasa Ramadan, maka tidak ada salahnya kita menuntut seorang 'komander' agar berundur selepas dia terbukti gagal.

Sudah lebih setahun perang melawan Covid-19 dilancarkan. Usahkan menang, malahan korban kematian semakin meningkat.

Statistik setakat 18 April menunjukkan seramai 1,378 orang terkorban akibat Covid-19. Angka ini adalah manusia, bukannya statistik semata-mata.

Jumlah kes positif Covid-19 keseluruhan setakat semalam 22 April ialah 384,688 termasuk 2,875 kes baru. Angka-angka ini semua adalah manusia, rakyat kita, warganegara kita, bukannya data semata-mata.

Bukan sahaja menteri kesihatan yang perlu bertanggungjawab tetapi keseluruhaan kabinet PN. Tanggungjawab kolektif para menteri itu akhirnya perlu dipikul oleh Muhyiddin selaku perdana menteri.

Bukankah sebelum ini Muhyiddin menyatakan bahawa Proklamasi Darurat tidak ada tujuan lain kecuali hanya untuk memerangi Covid-19?

Walaupun Darurat diisytiharkan sejak Feb lalu dan parlimen digantung tetapi kerajaan PN pimpinan Muhyidin tetap gagal melawan arus yang dibawa Covid-19.

Walaupun belanjawaan negara melebihi RM300 bilion diluluskan oleh parlimen - sebelum ianya digantung kemudian - dan pakej rangsangan lebih RM70 bilion disuntik, malangnya kerajaan pimpinan Muhyiddin tetap gagal melawan Covid-19.

Menteri dibantu dua timbalan

Amerika Syarikat yang berpenduduk kira-kira 330 juta orang telah melakukan proses vaksinasi ke atas lebihi 50 peratus penduduk dewasanya.

Namun di Malaysia setakat 18 April lalu hanya 1,135,015 orang daripada 32 juta rakyatnya sudah mendapat suntikan vaksin. Jumlah itu tidak sampai 2 peratus daripada keseluruhan populasi.

Kenapa perlahan sangat program vaksinasi di Malaysia? Apa masalahnya sedangkan kabinet Malaysia mempunyai anggota menteri dan timbalan menteri yang begitu ramai.

Menteri Kesihatan sendiri dibantu sehingga dua timbalan. Selain itu ada ada juga menteri tugas-tugas khas yang diberi tanggungjawab mengendalikan kes Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali

Kemudian ada pula Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi iaitu ahli parlimen Rembau yang mengetuai jawatankuasa perolehan vaksin dan program vaksinasi.

Dalam keadaan begitu program suntikan vaksin tetap berjalan dengan perlahan. Malah sangat perlahan seolah-olah pergerakan siput babi. 

Peruntukan ada, menteri ramai, tetapi terlalu sedikit rakyat yang sudah mendapat suntikan vaksin setakat ini. Mengapa?

Jadi dalam perang melawan Covid-19 ini ternyata kerajaan PN gagal. Kabinet pimpinan Muhyiddin gagal. Muhyiddin ialah komander dalam perang melawan Covid-19 ini yang setakat hari semalam mengorbankan lebih 1,400 orang.

Kita sudah tentu tidak mahu menunggu lebih ramai rakyat mati barulah perdana menteri yang gagal itu mahu melepaskan jawatannya.

Justeru saya sebagai ahli parlimen Pasir Gudang mendesak Muhyiddin meletakkan jawatannya sekarang juga.


HASSAN ABDUL KARIM ialah ahli parlimen Pasir Gudang, Johor.

Tiada ulasan: