"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi anggap nafsu ibarat kuda liar, netizen sindir pemimpin bernafsu ‘tebuk atap’

FAZLI RADZI

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima sindiran dan kecaman apabila dikaitkan dengan nafsu gilakan kuasa termasuk bersekongkol dengan pengkhianat mandat rakyat.

Terdahulu, Ahli Parlimen Marang tersebut mengibaratkan nafsu seperti kuda liar yang hanya dapat dijinakkan apabila pemiliknya memasang tali kekang pada mulut haiwan itu bagi mengawalnya.

Kata Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri itu, hal sama juga wujud pada ibadat puasa yang mengandungi didikan jihad bagi melawan hawa nafsu yang ingin kepada kelazatan hidup dunia.

Jelasnya, orang berpuasa mendapat kekuatan dan diselamatkan daripada godaan syaitan yang dibelenggu pada bulan Ramadhan manakala individu yang tidak berpuasa dengan sengaja akan merungkai ikatan syaitan yang dibelenggu.

“Maka tidak hairanlah apabila kejahatan masih berlaku dalam bulan Ramadhan kerana mereka tidak berpuasa mengikut pengertian yang sebenar,” katanya.

Walau bagaimanapun, rata-rata komentar daripada kalangan warganet dilihat menyindir Pas yang pada masa ini menganggotai Kabinet XXXL Mahiaddin Yassin.

“Tapi puasa tak berjaya kekang ketamakan pemimpin pengkhianat tebuk atap #KerajaanGagal,” selar Muhamad Nur Ismail.

Hal sama juga dibangkitkan Muhammad Qhiriel yang menulis “Nafsu nakkan kuasa. Tebuk atap sajalah” manakala Fauzi Hassim pula menganggap Pas sudah tidak lagi ‘garang’ memperjuangkan pelbagai isu berkepentingan Islam seperti ketika bergelar pembangkang.

“Dapat kuasa diam segalanya. Adalah bunyi cencorot (tikus kesturi) sikit. Itu pun sebab nak kuasa dan jawatan lebih. Salam Ramadan,” ujarnya.

Tidak kurang juga yang mengaitkan amanat ekstrem Hadi kepada ahli dan penyokong Pas sejak 40 tahun lalu yang antara lain menuduh Umno sebagai parti kafir.

“Dulu-dulu saya pernah mengkafirkan satu puak ini. Adakah itu juga dinamakan nafsu yang tak diikat ibarat kuda liar? Hanya bertanya,” perli Tasnim Widad.

Untuk rekod, Amanat Haji Hadi yang terkandung dalam ceramah umum yang disampaikannya di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 kemudiannya dikatakan sebagai punca tragedi Memali seperti pernah didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi zoo

Dalam masa sama, warganet menasihatkan Hadi meletakkan jawatan sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri yang disandangnya sejak April tahun lalu.

“Letak jawatanlah lebai penipu. Makan gaji buta puluhan ribu sebulan tu haram hukumnya. Mengambil harta negara tanpa bekerja untuk maslahah rakyat hukumnya haram.

“Takkan kamu sejahil itu untuk memahami halal haram lebai dunia,” kecam Azman Noor di ruangan komentar Hadi yang juga pernah tersenarai antara 500 Muslim berpengaruh di dunia bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani oleh ‘The Royal Islamic Strategic Studies’ berpusat di Jordan pada 2016 itu.

Malah, ada yang mengingatkan Hadi bahawa ramai rakyat sekarang ini sedang mengekang nafsu dan dalam masa sama dihimpit tekanan hidup impak penularan pandemik Covid-19.

“Nafsu sedang dipuaskan dengan jawatan duta khas bergaji menteri, tanpa kerja rasmi, sedang ramai di bawah sedang mengekang nafsu dengan kesengsaraan,” luah Pak Sheikh Mersing.

Selain itu, netizen turut menyindir bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal antara 1999 hingga 2004 berkenaan yang dikenali gemar menyelitkan nama binatang dalam banyak hujahnya sebelum ini termasuk ketika ucapan dasar perasmian Muktamar Tahunan Pas.

“Semua contoh binatang telah digunakan, patut jadi pengerusi zoo, bukan jadi duta duduk rumah,” tempelak Shahbudin Husin.

Tiada ulasan: