Malaysiakini
Selepas akaun TikTok miliknya dipadam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Malaysia sedang bergerak menjadi seperti negara Korea Utara di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, ia akan menyebabkan pihaknya sukar untuk menjawab mengenai isu-isu semasa dan serangan dilemparkan pihak lawan Perikatan Nasional (PN).
“Selepas daripada ini akan datang kepada tuan-tuan berita-berita yang sangat mengerikan, sangat menakutkan. Hari ini saja saya kena ‘tembak’ lima kali.
“Macam-macam kes, kes banglo, kes itu kes ini, malam ini kes REE (nadir bumi) pula. Semua itu ada jawapan, tapi depa (mereka) padam TikTok saya.
“Buka TikTok tengok dah tak ada. Kita baru tengah popular kan, tapi itulah medan kita nak jawab habislah. Kita tak boleh masuk televisyen depa tak bagi, tak boleh masuk radio.
“Kita pakai TikTok dengan Facebook saja. Facebook budak-budak tak tengok dah sekarang mereka kata itu untuk orang tua,” katanya dalam satu rakaman video dimuat naik Twitter HakarahDaily, hari ini.
Dia memaklumkan perkara itu melalui hantaran ringkas di Facebook, malam tadi.
“Darai dah barai,” katanya ringkas disusuli tangkap layar yang akaun TikTok berkenaan.
Perkataan ‘darai’ digunakan Sanusi itu merupakan slanga atau dialek Kedah membawa maksud ‘seorang lelaki berperawakan atau berpakaian seperti wanita’, manakala ‘barai’ difahamkan membawa maksud ‘musnah atau hancur lebur’.
Semakan Malaysiakini mendapati akaun TikTok milik Sanusi masih ada namun segala hantaran yang dibuat sebelum-sebelum ini sudah tidak dapat diakses.
Sanusi antara lain turut berkata, pihak kerajaan takut terhadap kebebasan media.
“Takutnya mereka kepada media yang bebas, mereka padam habis, 5.2 juta (kesukaan) dah koman-koman pun, pengikut pun berjuta juga.
“Nak buat (akaun) lain nak cari seorang-seorang (pengikut) payah juga kan? Lambat. Itulah zaman pemerintahan PH ini, negara Malaysia sedang bergerak menjadi Korea Utara.
“Korea Utara ini negara komunis, dia sekat semua media tak bagi rakyat tahu apa-apa, dengar dan patuh saja,” ujarnya.
Terdahulu Sanusi terpalit dengan dakwaan menghina Sultan Selangor yang dilihat membandingkan pelantikan menteri besar di Kedah - merujuk kepada dirinya sendiri - dengan Selangor dan mengaitkan proses itu dengan pihak istana kedua-dua negeri.
Dalam ucapan sama, timbalan pesuruhjaya PAS Kedah itu juga melabel menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari sebagai ahli politik cokia.
Ia mengundang protes pelbagai pihak. Media melaporkan lebih 30 laporan polis dibuat ke atas Sanusi.
Selain itu Ahli Dewan Diraja Selangor pula merujuk Pengarah Pilihan Raya PAS dan PN itu kepada polis.
Dalam aduannya, ahli Dewan Diraja Selangor Mohamad Adzib Mohd Isa menganggap kenyataan dibuat Sanusi beberapa hari lalu sebagai sangat tidak bertanggungjawab.
Ia juga katanya boleh mencetuskan keresahan dan kekecohan dalam kalangan masyarakat khususnya di Selangor sekali gus meminta supaya pihak berkuasa menyekat media sosial milik Sanusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan