SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
BAYAN LEPAS - Pertemuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi pentas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas disifatkan sebagai satu pertemuan geng-geng beremosi.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, pertemuan itu juga dilihat sebagai satu pertemuan geng 'kami tak suka Anwar' dan bukannya membincangkan masalah negara seperti barisan menteri Kerajaan Madani sedang lakukan ketika ini.
"Ia lebih kepada pertemuan geng-geng emosi, dia tak sentuh pun (isu) hutang negara, dia tak bincang macam yang kita bincang di sini contohnya membincangkan tentang apa nak buat pasal cip.
"Pertemuan ini lebih kepada 'kami tak suka Anwar'. Insya-ALLAH rakyat boleh buat penelitian, cuma saya tidak akan terheret untuk bermain emosi yang sama.
"Kita ada kerja nak buat dan kita tidak boleh selesaikan masalah dalam keadaan beremosi. Kita ada polisi yang baik dan kita fokus bagaimana mahu menyampaikan kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akbar selepas menghadiri sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 Bersama Kerajaan Pulau Pinang di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, Dr Mahathir yang tampil berceramah di pentas PN di Kelantan menyeru rakyat untuk bersama-sama menolak Kerajaan Perpaduan yang disifatkan sebagai sebuah kerajaan yang gagal.
Mengulas mengenai kehadiran Dr Mahathir pada majlis tersebut, Ahli Parlimen Pandan itu menambah, ia adalah hak Mahathir untuk menyertai kempen mana-mana parti politik menjelang PRN ini.
"Itu hak Tun, pandangan saya ialah masa berkempen itu hak masing-masing dan kita galakan seberapa ramai untuk melontarkan idea mereka kepada rakyat. Saya fikir, rakyat juga akan buat pilihan berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas.
"Jadi dalam keadaan, Tun pun ada rekod dengan Pas dan Bersatu. Oleh itu, apabila Tun muncul di pentas PN, ia mempunyai kesan yang berbeza kepada orang yang berbeza.
"Ada pengundi mungkin suka tapi saya fikir akan ada pengundi yang akan mempersoalkan apa sudah jadi dengan prinsip dan pendirian masing-masing sebelum ini," katanya.
Rafizi berkata, i ni kerana sebelum ini Tun Mahathir ada pendirian sendiri tentang Pas dan Bersatu.
"Jadi hanya kerana semata-mata tak suka kepada Anwar, pada umur yang sedemikian, walaupun di mata sesetengah itu menunjukkan perpaduan di antara tokoh-tokoh ini, ia juga akan juga akan ditafsirkan secara berbeza oleh pengundi-pengundi lain," tambahnya.
Beliau berkata lagi, pilihan raya adalah medan terbaik untuk menyelesaikan masalah rakyat dan negara, bukannya medan untuk beremosi.
"Apa yang terbaik, saya ingat kita serahkan kepada rakyat untuk PRN ini cuma seperti saya ulang seperti dalam ceramah saya sebelum ini, pilihan raya ini adalah medan terbaik untuk kita membandingkan soal dasar, program, persaingan untuk selesaikan masalah rakyat dan negara.
"Ia tidak baik jika dijadikan medan untuk memainkan emosi. Saya yakin sebenarnya rakyat boleh menilai apabila Tun hadir di atas pentas Pas dan Bersatu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan