"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM: (REE) Sanusi pun akan dipanggil

Bernama

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merakam kenyataan 12 individu bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata kesemua individu yang dipanggil setakat ini dari Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan syarikat swasta yang dikatakan terlibat dengan perlombongan REE tersebut.

“Setakat ini masih belum ada orang politik yang dipanggil untuk memberi keterangan... Sesiapa saja akan dipanggil untuk bagi keterangan, mana yang difikirkan perlu, mungkin cepat atau lambat sahaja.

“Nak siasat bukan boleh terjah sahaja, kena buat pengesahan dan panggil saksi berkenaan, kena pastikan hal berkaitan prosedur untuk luluskan pengeluaran REE.

"Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pun akan dipanggil, sebab dia yang sain surat yang tular itu,” katanya selepas program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di Kuala Nerus, Terengganu hari ini.

Azam berkata SPRM juga sedang mengesan beberapa saksi dari China yang dikatakan membuat pelaburan dalam perlombongan REE tersebut untuk turut membantu siasatan.

“Pegawai penyiasat sedang menyiasat (kesan saksi dari luar negara),” katanya.

Mengulas dakwaan SPRM ditekan oleh pihak tertentu supaya mempercepatkan siasatan kes REE susulan pilihan raya negeri (PRN) semakin hampir, Azam menyangkal kenyataan tersebut dan menegaskan perkara itu hanya kebetulan berlaku dalam tempoh ini.

“Tiada siapa menekan kami, ini cuma secara kebetulan. Sama ada kerana PRN atau tidak, ia bukan masalah... SPRM dalam hal berkaitan apa juga isu rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan, yang ada merit untuk siasat, kita siasat,” katanya.

Semalam seorang pegawai kanan MBI Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu perlombongan REE di Kedah.

Sumber SPRM berkata suspek yang berusia 63 dan 40 tahun itu direman tiga hari hingga 21 Julai selepas ditahan di sekitar Alor Setar, Kedah serta ibu negara.

Menurut sumber syarikat terbabit dipercayai telah menjalankan aktiviti perlombongan itu secara haram sejak 2020 dan mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu.

- Bernama

Tiada ulasan: