"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MB sebuah negeri disiasat SPRM kes lombong haram nadir bumi

Ilah Hafiz Aziz
illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa membabitkan seorang menteri besar dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Perlombongan itu dipercayai dilakukan secara tidak sah dan menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.

BH difahamkan SPRM Kedah sebelum ini pernah membuka kertas siasatan berhubung isu perlombongan haram REE ini pada awal tahun ini.

Siasatan dipercayai berterusan termasuk kertas siasatan dibuka, dengan beberapa orang saksi sudah dipanggil.

Dalam perkembangan itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan beberapa kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, antara yang dibuka termasuklah kertas siasatan SPRM Kedah pada Mac 2023.

Ketika ditanya sama ada menteri besar berkenaan akan dipanggil dalam masa terdekat, Khusairi bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut.

Sebelum ini, BH mendapat maklumat isu perlombongan haram dan kerugian hasil bumi ini diadukan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Gerakan Anti-Sanusi (GAS) pada Mac 2023 lalu.

Laporan itu termasuklah oleh penduduk di kawasan Bukit Enggang Sik yang menjadi lokasi kerja-kerja perlombongan haram yang dibuat secara besar-besaran sebelum ditumpaskan oleh pihak berkuasa.

Januari lalu, UMNO Kedah pernah menggesa SPRM untuk menyiasat dan mendedahkan hasil siasatan sama ada terdapat campur tangan politik dalam isu kecurian REE yang mendatangkan kerugian besar kepada negara.

Malah, baru-baru ini, beberapa orang individu juga tampil dan membuat aduan rasmi kepada SPRM bagi menyiasat isu salah guna kuasa dan rasuah membabitkan seorang menteri besar hasil daripada satu surat viral.

Surat itu dikatakan berkaitan permohonan kuota pekerja asing kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kononnya bagi projek usaha sama antara Kerajaan Negeri dengan sebuah syarikat tempatan dan syarikat dari China.

Tiada ulasan: