FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang buruh kampung dihukum penjara 218 tahun dan 75 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku bersalah atas tujuh tuduhan merogol dan satu amang seksual terhadap anak kandungnya sendiri sejak 2020 hingga melahirkan anak.
Bagaimanapun, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 38 tahun selepas hakim Abu Bakar Manat membenarkan hukuman untuk kesalahan merogol dijalankan secara serentak.
Menurut Kosmo! sebelum menjatuhkan hukuman itu, Abu Bakar sempat menasihati tertuduh yang berusia 41 tahun itu.
“Kamu tak terfikir ke masa depan dia sebelum buat? Ini anak menjadi tanggungjawab dan amanah pada kamu sebagai ayah. Anak-anak adalah rezeki, malah ada orang masih belum dapat anak walaupun macam-macam buat termasuk jumpa doktor,” katanya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga sebatan.
Bagi kesalahan amang seksual fizikal tersebut hakim menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan serta tambahan tiga tahun dan dua sebatan.
Lelaki itu juga didakwa atas tujuh tuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol yang boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga 10 kali sebatan.
Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum iaitu 30 tahun penjara dan 10 kali sebatan untuk setiap tuduhan.
Bagaimanapun, Abu Bakar mengarahkan hukuman penjara atas kesalahan merogol itu dijalankan secara serentak.
Menurut fakta kes, kejadian pertama berlaku apabila tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya ketika mangsa berusia 12 tahun pada 2020.
Tertuduh kemudiannya merogol mangsa pada Oktober tahun sama dan kejadian terakhir berlaku pada 5 Jun lalu.
Tidak tahan dengan perbuatan bapanya, mangsa menukar kunci pintu tetapi tertuduh memanjat bilik untuk merogol gadis itu.
Ketua Polis Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian terbongkar selepas pemeriksaan kesihatan dijalankan di sekolah dan mendapati berlaku perubahan fizikal pada tubuhnya.
Mangsa ketika itu tidak mengetahui dia mengandung sebelum membuat laporan polis terhadap tertuduh.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan