Fuad Rahman
Dulunya kita melihat TikTok sebagai ruang untuk anak-anak muda tergedik-gedik menari tiada arah. Lalu kita melabelnya sebagai platform yang mempromosi tingkah laku yang kurang nilai moral.
Tapi sekarang ia berganjak lebih jauh sebagai wadah menyampaikan mesej kepada massa secara lebih berkesan. Kerana had durasi yang pendek, apa saja mesej yang mahu disampaikan kena pada sasaran. Kandungan yang panjang dan berjela-jela membuat para “followers” bosan dan segera “skip” ke konten lain.
“Influencer” Firdaus Firabib secara berkesan menggunakan TikTok untuk memperkenalkan masjidnya, Al Busyra Merbok, di Sungai Petani bukan sahaja sebagai pusat ibadat tetapi sebagai hub menjana ekonomi setempat melalui perniagaan rehat dan rawat (R&R) di sekitar perkarangan masjid.
Idea Firdaus yang juga seorang imam untuk ‘membuka’ masjid pada mulanya ditentang AJK. Kini ia dibuka untuk persinggahan musafir, lengkap dengan gerai-gerai makan, tempat cuci kereta, kedai gunting rambut, kemudahan peralatan komunikasi, dan kedai cetak.
Firdaus muncul setiap hari dalam TikTok untuk berkongsi aktiviti harian masjid dan mempromosi aktiviti bakal diadakan. Di sebalik riuh rendah mengajak jemaah sama-sama meraikan majlis, Firdaus sempat muncul di kuliah dan ceramah sama ada di masjidnya mahu pun di luar Sungai Petani.
Paling mengagumkan apabila beliau membuat kutipan RM2 bagi infaq sarapan pagi Jumaat untuk Al Busyra. Tidak sampai 24 jam, sejumlah RM21,000 dikutip melalui TikTok untuk sarapan percuma Jumaat. Kutipan itu diagihkan kepada gerai-gerai di masjid berkenaan bagi membolehkan makanan diberi percuma kepada jemaah.
Usaha ini juga satu ibadah besar. Solat Subuh dipenuhi jemaah macam solat Jumaat. Menteri besar Kedah juga singgah untuk melihat apa sebenarnya berlaku di situ.
Al Busyra diangkat menjadi masjid terbaik di Kedah, malah Ustaz Firdaus ditawar jawatan imam di masjid lain. Tidak ramai orang seperti Firdaus. Banyak halangan dan kecaman yang dihadapinya untuk cuba memperkasakan peranan masjid dalam masyarakat.
Sementara masjid lain lebih Selesa dengan jumlah kutipan yang disimpan, Al Busyra memanfaatkan kutipannya untuk pembangunan masjid. Reaksi masyarakat kepada kempen dana masjid yang dipromosi Firdaus di TikTok tidak pernah gagal. Ia segera memenuhi sasaran.
Terdetik di hati untuk menziarah Al Busyra untuk berkongsi aura para pendukungnya, khususnya “team” Ustaz Firdaus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan