"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khutbah Jumaat berunsur politik, PH Kedah gesa siasatan

JAMLIAH ABDULLAH

MAHFUZ OMAR (duduk, dua kiri) bersama pemimpin Amanah dan PH Kedah ketika hadir menyerahkan memo bantahan khutbah Jumaat berunsur politik kepada Pengarah JHEAIK, Datuk Abd. Ghani Zulkifli (duduk, tengah) di Pejabat JHEAIK, Alor Setar.

ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) Kedah menggesa pihak berkaitan supaya menjalankan siasatan terperinci ekoran isu seorang khatib menyampaikan khutbah sehingga menyentuh unsur politik di sebuah masjid di Padang Serai, Jumaat lalu.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan khatib berkenaan menjadikan mimbar masjid sebagai medan berpolitik kepartian adalah tidak wajar terutama ketika umat Islam membuat persediaan menyambut Ramadan.

“Antaranya dalam khutbah itu, dia menyeru menyokong kepimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang disebut jelas. Kedua, berkaitan isu kezaliman Kerajaan Perpaduan dan kegagalan kebenaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan (Lapangan Terbang) KXP.

“Jadi kita minta jabatan agama bertindak supaya perkara ini tidak akan menjadi masalah perpecahan kepada perpaduan umat Islam apabila ada satu pihak mengecam parti yang lain.  Itu yang kita minta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) di sini untuk menyerahkan memo bantahan khutbah Jumaat yang disifatkan satu kempen politik kepartian itu.

Mengulas lanjut kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, pihaknya juga akan mengadap Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang merupakan Yang DiPertua Majlis Agama Islam Kedah bagi menyuarakan kebimbangan berhubung isu berkenaan.

“Saya juga minta jabatan agama mesti panggil semua imam dan pengerusi kariah ini supaya tidak ada lagi ustaz yang mengunakan medan mimbar masjid kuliah dan khutbah itu untuk menyebarkan politik kepartian yang boleh membawa kepada perpecahan,” katanya.

Tambah beliau, semua parti dan pemimpin perlu mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang memecah belahkan umat Islam sempena kedatangan Ramadan ini. –UTUSAN

Tiada ulasan: