MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Kumar (kanan) menunjukan senjata api yang dirampas pada sidang àkhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini. Foto oleh BAAZLAN IBRAHIM/ KOSMO!
JOHOR BAHRU – Satu sindiket ‘ejen insurans’ menggunakan taktik kejam dengan membunuh pencarum bagi menuntut pampasan bernilai RM500,000 dalam kejadian di Kulai, bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Asisten Komisioner M. Kumar berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan mencari dan mendekati mangsa yang hidup sebatang kara.
“Ejen insurans kemudian memalsukan tandatangan mangsa semasa urusan permohonan polisi insurans dan suspek akan menunggu sehingga polisi insurans diluluskan.
“Setelah polisi insurans diluluskan dan membayar premium insurans selama beberapa bulan, suspek mula merancang untuk membunuh mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kumar memberitahu, dalam kejadian pada pukul 4.40 pagi, mangsa yang menaiki motosikal Honda EX5 dihimpit dan dilanggar dua buah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Senai-Seelong, Kulai pada 6 Mei lalu.
Jelasnya, mangsa berusia 38 tahun itu yang terjatuh kemudian dipukul oleh empat suspek di lokasi tersebut.
“Mangsa yang masih dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dilanggar lori jenis Isuzu yang kebetulan melalui jalan tersebut menyebabkan dia mati di tempat kejadian,” katanya.
Polis kemuydian menahan lapan lelaki tempatan berusia 23 hingga 49 tahun di beberapa lokasi bagi membantu siasatan. Empat suspek dituduh di mahkamah pada 19 Jun lalu, manakala empat lagi diberi bon jaminan. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan