AZMI NORDIN
Kereta BMW dipandu mangsa ditemui terbabas ke dalam longkang dalam kejadian di Lebuh Bukit Jalil, Puchong, hari ini.
PETALING JAYA – Misteri kehilangan seorang lelaki akhirnya terungkai apabila kenderaan dinaikinya ditemui terbabas dipercayai hampir 60 jam dalam kejadian di Lebuh Bukit Jalil, dekat sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3 petang tadi.
Menurutnya, lima anggota dan pegawai serta dua jentera dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Puchong digerakkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mayat.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta jenis BMW terbabas dan masuk ke dalam longkang.
“Seorang lelaki tempatan meninggal dunia dan kerja-kerja mengeluarkan mayatnya sedang dijalankan di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar mengesahkan mangsa merupakan orang hilang dengan laporan diterima di Balai Polis Sungai Way. – KOSMO! ONLINE.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan