"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas CEO didenda. RM15,000 salah guna jawatan lantik, bayar gaji lebih RM13,000 kepada anak

Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
Amir menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan yang dikemukakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini. - NSTP/MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD
Amir menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan yang dikemukakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini. - NSTP/MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD
MELAKA: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat Kerajaan Melaka, dihukum denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini, atas kesalahan menggunakan jawatannya untuk membayar gaji berjumlah lebih RM13,000 kepada anak perempuan sendiri yang dilantik olehnya bekerja di agensi berkenaan, tiga tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Amir Ali, 57, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan yang dikemukakan pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa membuat urusan bayaran gaji berjumlah RM13,750 yang diterima anaknya, Nur Hafizah yang dilantiknya sendiri ke jawatan Pegawai Kewangan W41 di Syarikat Melaka Halal Hub Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Melaka Halal Hub Sdn Bhd, Lot 125, Bangunan Anchor Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub Serkam, Jasin, pada 1 April 2021.

Amir yang kini bertugas sebagai pegawai kanan kebudayaan di sebuah universiti tempatan, didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 26 akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

Pada 27 September tahun lalu, tertuduh didakwa dan memohon dibicarakan atas pertuduhan utama, iaitu menggunakan jawatan CEO (ketika kejadian) untuk melantik anak perempuannya sebagai Pegawai Kewangan W41 di syarikat terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Azrul Zulkifli Stork.

Mohamad Azriff Firdaus dalam hujahnya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kepada umum, serta tidak hanya mempertimbangkan rayuan tertuduh untuk hukuman minimum.

Dalam kes itu, beliau berkata, anak tertuduh menerima pendapatan lebih RM13,000 bagi jawatannya dan kesalahan sebegitu kerap dilakukan.

"Pendakwaan mencadangkan hukuman denda antara RM15,000 ke RM20,000 dikenakan kepada tertuduh," katanya.

Bagaimanapun, Azrul Zulkifli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya sudah menyesal dan insaf atas kesalahan dilakukan.

Beliau berkata, kesalahan dilakukan anak guam ketika negara berdepan pandemik COVID-19 yang mana ekonominya terkesan dan perlu menyara keluarga besar menyebabkan tertuduh melantik anaknya di syarikat berkenaan.

"Setelah mengetahui perbuatan itu adalah satu kesalahan, tertuduh meletak jawatan di syarikat berkenaan dan tidak menyambung kontrak anak perempuannya.

"Ini menunjukkan dia sudah menyesal atas kesalahannya," katanya.

Selain itu, Azrul Zulkifli berkata, anak guamnya juga menghidap penyakit buah pinggang tahap dua dan kencing manis, serta menjalani rawatan berkala di hospital.

"Anak guam saya menanggung isteri dan tujuh anak serta ibu bapa yang menghidap penyakit jantung," katanya.

Selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian mengenakan hukuman denda RM15,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayarnya. Tertuduh membayar denda itu.

Tiada ulasan: