"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ajar Millah Abraham kepada isteri, Pemuzik jalanan didenda RM2,000, penjara sebulan

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

Seremban: Pemuzik jalanan didenda RM2,000 dan penjara selama sebulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini, atas pertuduhan mengajar ajaran berlawanan dengan hukum syarak berkaitan ajaran Millah Abraham kepada isterinya, tahun lalu.

Tertuduh, Norasid Md Said, 50, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah pertuduhan yang dibacakan pembantu mahkamah di hadapan Hakim Ruzita Ramli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukum syarak kepada seorang wanita berusia 51 tahun iaitu isterinya dengan menyatakan bahawa 'selepas kewafatan Nabi Muhammad akan muncul rasul baharu'.

Pendakwaan terhadap Norasid dibuat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Kesalahan itu dilakukan di Felda Palong 3, Gemas lebih kurang pukul 10 hingga 11 malam antara 1 hingga 30 September 2023.

Pegawai Pendakwa Syarie yang dibarisi Abdul Wafi Ramli, Mohd Hafiz Mohd Lazim dan Mohd Amir Yahya memohon mahkamah menjatuhkan denda dan penjara yang maksimum dengan mengambil kira kesalahan dilakukan membabitkan akidah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan menghidap HIV, masalah jantung dan darah tinggi serta tidak mempunyai pendapatan tetap sebagai busker dan pelbagai kerja sampingan.

Menurutnya, dia juga hanya berpendapatan kira-kira RM1,200 sebulan dan perlu menyara tiga anak serta isteri.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM2,000, jika gagal bayar boleh dipenjara selama sebulan.

Pada prosiding sama, tertuduh mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan sama dengan menyatakan 'solat itu syirik kerana kita melakukan perbuatan sujud seperti menyembah sesuatu objek' dan berkaitan lafaz syahadah yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu 'aku bersaksi tiada tuhan yang disembah melainkan tuan semesta alam dan rasul Mesiah adalah pesuruh tuan sekalian alam'.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama pada Jun dan Ogos 2023.

Bagi dua pertuduhan ini, Abdul Wafi meminta mahkamah supaya tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menahannya di dalam penjara sehingga kes selesai dibicarakan.

Ini kerana katanya, sekiranya tertuduh bebas dikhuatiri boleh mengganggu keselamatan isterinya yang tinggal dalam rumah yang sama.

Namun jelasnya, sekiranya mahkamah membuat pertimbangan, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin dan syarat tambahan melapor diri ke Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan perlu melapor diri ke Pejabat JHEAINS setiap dua minggu, jika gagal bayar akan ditempatkan di penjara.

Sebutan semula pada 7 Oktober 2024.

Media sebelum ini melaporkan tiga beranak ditahan masing-masing di Felda Sungai Kelamah dan Felda Palong 3, dekat Gemas, Tampin, hari ini kerana disyaki menganggotai ajaran sesat, Millah Abraham.

Dalam serbuan serentak kira-kira jam 6 petang itu, pasukan Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) turut merampas pelbagai barang yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran itu.

Tiada ulasan: