"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Apa guna kekal dalam kabinet jika hilang kebebasan bersuara

Qistina Nadia Dzulqarnain

Rafizi Ramli berkata tiada sebab untuk dia terus kekal dalam kabinet sekiranya jawatannya itu mengorbankan hak untuk dia bersuara dan menyatakan pandangan sendiri.

Bercakap dalam episod pertama audio siar terbarunya Yang Berhenti Menteri malam tadi, Rafizi berkata, dia hanya akan menjadi seorang “menteri tempang” sekiranya memilih untuk kekal dalam kerajaan selepas tewas kepada anak perdana menteri, Nurul Izzah Anwar, dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR baru-baru ini.

“Saya tak mahu berada dalam kabinet jika itu bermakna pandangan saya disekat atau saya tidak dibenarkan untuk berbeza pandangan.

“Saya tak mahu berada dalam situasi […] saya diminta supaya ‘jangan merajuk, buat kerja sahaja untuk parti’.

“Walaupun usaha saya memberi nilai tambah kepada PKR, saya tetap tidak diberi ruang untuk bersuara secara berbeza,” katanya.

Bekas menteri ekonomi itu juga berkata tanpa pengaruh dalam keputusan seperti pelantikan atau pembaharuan budaya politik yang toksik, kehadirannya hanya akan memperkuat sistem yang sebelum ini ditentang.

Dia menekankan bahawa penyertaan Nurul Izzah dalam pemilihan parti jelas mendapat restu Anwar sebagai Presiden PKR, dan memberi isyarat bahawa tokoh terbabit tidak lagi meletakkan keyakinan terhadap kepimpinannya sebagai timbalan presiden parti serta menteri ekonomi.

Tambah anak kelahiran Terengganu itu, terus memegang jawatan menteri selepas kalah dalam pemilihan hanya akan “menjejaskan” Kementerian Ekonomi kerana penjawat awam akan melihatnya kehilangan legitimasi – sekali gus menjejaskan keberkesanan dasar dan program kementerian.

“Mandat itu penting untuk menjayakan agenda reformasi ekonomi. Kalau hilang mandat, maknanya idea dan pandangan kita telah ditolak,” katanya.

Usah pinggir ahli akar umbi

Rafizi juga menegaskan jika dia kekal dalam jawatan tersebut keadaan tetap sukar kerana timbul persepsi bahawa dia tidak lagi mendapat sokongan perdana menteri untuk menjalankan tugasnya.

Mengulas cadangan Nurul Izzah agar dia diangkat sebagai timbalan presiden lantikan, Rafizi berkata, ia dibuat bagi mengekalkan penyokong dalam parti tetapi pada masa sama menyekat suaranya.

“Ini soal prinsip. Kalau kita benar-benar yakin dengan reformasi, mesti ada ruang untuk pandangan berbeza. Kalau tidak, setiap kali seseorang bersuara akan dituduh merajuk,” katanya lagi.

Rafizi menegaskan beliau tidak kisah jika tidak lagi menjadi menteri atau memegang jawatan dalam parti, tetapi apa yang penting, isu struktur dan prinsip mesti dibincangkan demi masa depan dan kelangsungan PKR.

Mengulas kritikan sesetengah pihak yang menyifatkannya “tinggalkan tugas separuh jalan”, Rafizi mempertahankan pencapaiannya sebagai menteri, termasuk pelaksanaan beberapa inisiatif penting.

Katanya hanya ada dua perkara utama belum sempat diselesaikan: Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan Akta Anti Rent-Seeking, yang lebih dikenali sebagai Akta Anti-Ali Baba.

Rafizi juga dilihat menyindir Ketua Wanita PKR yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, apabila meminta rakyat menilai prestasi kementeriannya dan bukan hanya menumpukan kepada prestasi Kementerian Ekonomi.

Walaupun tidak mengkritik secara langsung, Rafizi turut menyebut nama Naib Presiden PKR, R Ramanan, sambil mengingatkan parti supaya tidak meminggirkan ahli akar umbi.

“Ada dua tiga orang dalam PKR sekarang yang tak faham sejarah parti sebab mereka baru masuk.

“Mereka tak patut pandang rendah terhadap tenaga rakyat biasa – yang tak pegang jawatan, tak pakai baju gambar Ramanan dan Anwar – tapi mereka inilah yang kekalkan PKR selama ini.

“Tanpa mereka, tiada PKR. Saya rasa mereka ada potensi besar dan keinginan untuk terus berkhidmat kepada parti.

“Cabaran saya sekarang ialah bagaimana nak manfaatkan kuasa dan tenaga mereka,” katanya.

Ditanya jika dia bercadang menubuhkan parti baru, Rafizi secara berseloroh berkata, satu-satunya ‘parti’ yang dirancangnya setakat ini hanyalah majlis perjumpaan bulan depan untuk “meraikan kekalahannya”.

Walaupun pernah mempertimbangkan cadangan itu, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab utama beliau kini ialah memastikan dirinya dan penyokongnya tidak terlalu ikut perasaan, sebaliknya fokus kepada keperluan semasa – menjamin kestabilan kerajaan.

Mengakui kekecewaan dan kepayahan yang dilalui oleh akar umbi PKR sejak zaman pembangkang, Rafizi berkata beliau akan meluangkan masa untuk berjumpa dan berdialog dengan ahli-ahli parti tersebut.

“Penting untuk saya salurkan tenaga dan emosi mereka daripada perkara toksik kepada isu-isu yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Tiada ulasan: