Malaysiakini
Dalam ucapan terakhirnya kepada para pegawai Kementerian Ekonomi, Rafizi Ramli menyampaikan rangkaian kata-kata semangat – mengenai usaha untuk mengubah dunia, keteguhan menghadapi kritikan dan tekad terhadap suara hati sendiri.
Menerusi satu petikan yang dikongsikan di media sosial, ahli Parlimen Pandan itu berkata banyak isi ucapannya berkisar pada empat petua dalam menjalankan tugas.
Petua pertama berkisar kepada kata-kata ahli antropologi budaya dan penulis Amerika Syarikat (AS) Margaret Mead, yang percaya bahawa “sekumpulan kecil warga yang berfikir dan komited boleh mengubah dunia”.
“Perubahan tidak pernah digerakkan oleh satu kumpulan yang besar. Perubahan berlaku kerana keyakinan satu kumpulan kecil yang ada kesedaran,” kata Rafizi.
Bagi mendepani pihak yang mengkritik pula, Rafizi mengambil kata-kata bekas presiden AS Theodore Roosevelt yang mengingatkan bahawa “apa yang penting bukanlah pengkritik, tetapi mereka yang berada di gelanggang”.
“Apabila kita ingin melakukan perubahan, lebih ramai yang mencemuh dan menghina. Lebih ramai yang rasa mereka pakar segalanya. Kalau kita cadang formula, mereka mengejek.
“Tetapi lebih baik menjadi orang yang bergelut di dalam gelanggang dan cuba membawa perubahan, daripada tukang sorak di luar. Tukang sorak di luar hanya menang sorak, tetapi tidak pernah faham erti kemenangan atau kekalahan,” tambah Rafizi.
Rafizi sebelum ini sering disindir sebagai “Raja Formula” oleh pihak yang mengkritiknya, ekoran kecenderungannya terhadap pengiraan terperinci, model ekonomi dan hujah berasaskan data.
Prinsip dan keyakinan
Menyentuh soal perubahan, bekas timbalan presiden PKR itu turut mengulang kata-kata hikmah yang sering disebut: “Kegilaan ialah melakukan perkara yang sama berulang kali tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.”
“Apabila kita ingin membawa perubahan, bila ada peluang melakukan perubahan, janganlah kita mengulangi apa yang telah dibuat sebelum itu (yang menjadi punca kepada masalah yang memerlukan perubahan). Itu adalah satu kegilaan,” katanya.
Akhir sekali, Rafizi menekankan kekuatan prinsip dan suara hati, dengan memetik kata-kata ahli fizik Jerman, Max Planck yang menyifatkan kedua-duanya sebagai “mahkamah tertinggi” – pentas pengadilan muktamad yang perlu dijawab oleh setiap individu.
“Mahkamah terakhir di mata dunia ini ialah prinsip dan keyakinan kita. Kita boleh menang yang lain, tetapi mahkamah rayuan terakhir, di mata orang lain, ialah penilaian bagaimana kita hidup dengan prinsip dan keyakinan kita.
“Orang lain mungkin tidak bersetuju dengan pandangan kita, tetapi mereka tidak boleh menidakkan kehormatan yang datang daripada hidup yang berlandaskan prinsip,” katanya lagi.
Rafizi sebelum ini meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi selepas gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR, di tangan Nurul Izzah Anwar.
Anwar, yang juga presiden PKR, sebelum ini menolak dakwaan nepotisme dalam pemilihan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan