"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

7 Tol Melalui Sirat

Akhi Fadhli
Sirat atau titian yang merintangi neraka jahannam menuju ke syurga. Tiada sesiapapun yang akan terkecuali daripada merintangi titian ini. Dalam titian ini, manusia akan menghadapi tujuh sekatan dan setiap sekatan ada soalan-soalan dan pemeriksaan yang terpaksa dilalui oleh manusia.

1. Sekatan pertama, manusia akan diperiksa dengan syahadah mereka. Adakah benar mereka beriman kepada Allah dan Rasulnya seperti dalam lafaz syahadah. Manusia juga mestilah bebas dari syirik.

2. Sekatan kedua, manusia akan diperiksa dengan solat mereka. Solat hendaklah sempurna dengan rukun-rukun, syarat-syarat serta khusyuk hati mereka.

3. Sekatan ketiga, manusia akan ditanya mengenai ibadah puasa mereka. Adakah puasa mengikuti rukun-rukunnya serta tidak dirosakkan dengan perkara yang membatalkan puasa atau merosakkan pahala puasa.


4. Sekatan keempat, manusia akan ditanya mengenai zakat. Adakah mereka mengeluarkan zakat seperti yang disyariatkan.

5. Sekatan kelima, manusia akan diperiksa dengan ibadat haji.

6. Sekatan keenam, manusia akan ditanya dengan wudhuk dan mandi wajib. Kecuaian dalam melaksanakan kedua-dua ibadah ini menyebabkan sesetengah ibadah tak boleh dilaksanakan. Perlu belajar, tidak boleh ikut-ikut orang dalam melaksanakan ibadah bersuci. Tidak boleh sekadar membaca buku, perlu berguru agar tidak sesat dan diganggu syaitan.

7. Sekatan ketujuh, manusia akan ditanya sama ada mereka melakukan kezaliman terhadap sesama manusia. Tidak boleh disembunyikan kezaliman yang dilakukan terhadap manusia lain.
Jika tol atau sekatan jalan raya (road block) di dunia mampu dihadapi dengan mudah oleh manusia. Masuk jalan bertol, kena bayar tol. Kalau kena saman kat road block, boleh bayar. Boleh buat rayuan lagi. Namun di akhirat tidak semudah itu. Hanya amalan, keikhlasan dan keimanan manusia yang mampu menghadapi sekatan-sekatan yang bakal dikenakan. Sebuah kisah dalam Al-Quran dalam surah Al Kahfi sebagai renungan.

Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain. Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan Kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.
Surah Al Kahfi: 32-33

Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh. Dengan pengikut-pengikutku yang ramai".
Surah Al Kahfi: 34

Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: "Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya. Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah Aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.
Surah Al Kahfi: 35-36

Berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: "Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki? Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.
Surah Al Kahfi: 37-38

Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu,
Surah Al Kahfi: 39

Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) Dia akan menimpakan dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus. Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi".
Surah Al Kahfi: 40-41

Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!"
Surah Al Kahfi: 42

Dan ia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan ia pula tidak dapat membela dirinya sendiri. Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan Yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).
Surah Al Kahfi: 43-44

-ibnuahmad-

Rujukan:

1. Nik Abd Aziz Nik Mat, (2007), Nota Kepada Diri, Buku Harakah, Kuala Lumpur.
2. Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Misbah Em Majidy, (2008), Kisah Cinta dalam Al-Quran, Anbakri Publika, Kuala Lumpur.

http://tunasislam.blogspot.com

Tiada ulasan: