"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cucu bakar rumah nenek

Seorang nenek tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya musnah dalam kebakaran awal pagi ini, dipercayai dibakar oleh cucunya sendiri yang dikatakan menghidap penyakit mental.

Kebakaran rumah di Kampung Sematang Bogok di Alor Setar, itu berlaku ketika Asiah @ Itam Puteh @ Teh, 72, sedang tidur di bahagian dapur rumah itu.

"Mak Cik sedang tidur ketika itu dan cucu kejutkan mak cik lalu mengheret mak cik keluar dari rumah menyebabkan Mak Cik terjatuh dan ketika itulah baru sedar yang rumah kami sedang terbakar.

"Kami langsung tidak sempat menyelamatkan apa-apa," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, adik warga emas itu Rejab Puteh @ Teh, 62, yang tinggal tidak jauh dari rumah kakaknya berkata dia menyedari kebakaran itu apabila pintu rumahnya diketuk oleh kakaknya.

"Saya mengejutkan dua anak lelaki saya untuk membantu memadam api dan terus menelefon bomba," katanya.

Rejab berkata cucu kakaknya itu kemudian mengaku bahawa dia yang membakar rumah terbabit.

Difahamkan, Asiah tinggal di rumah itu seorang diri sejak lapan tahun lepas setelah kematian suaminya dan cucunya itu datang untuk tinggal bersama neneknya sejak sebulan lepas.

Ketua Operasi Balai Bomba Jalan Raja Mohd Shukri Nayan berkata bomba yang menerima panggilan pada pukul 1.56 pagi menghantar satu jentera bersama enam anggota ke tempat kejadian dan mereka mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat, katanya.
-BERNAMA-

Tiada ulasan: