"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jururawat berdepan 70 sebatan khalwat di Jeddah

Jalal Ali Abd Rahim
KUALA LUMPUR:
Seorang jururawat warga Malaysia berusia 30-an berdepan hukuman sehingga 70 sebatan serta penjara selepas ditahan berkhalwat di sebuah rumah di Jeddah, Arab Saudi.

Pasangannya, seorang doktor juga rakyat Malaysia berusia 40-an, bagaimanapun melarikan diri meninggalkan kekasihnya, dipercayai menggunakan pasport palsu Indonesia untuk keluar dari Arab Saudi sebelum kes itu dibicarakan.

Kedua-duanya yang bertugas di sebuah hospital di Jeddah, ditahan bersama seorang lagi lelaki warga Malaysia yang menghadapi tuduhan bersubahat kerana tinggal di rumah sama.

Menurut sumber, ketiga-tiga tertuduh sudah didakwa di mahkamah dan dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu keputusan kes berkenaan.

Bagaimanapun, sebelum kes itu diputuskan, doktor berkenaan melarikan diri dan dipercayai sudah pulang ke tanah air.

Beliau berkata, rakannya yang berusia 40-an juga cuba melarikan diri menggunakan pasport palsu, kira-kira dua minggu lalu, tetapi dapat ditahan pihak berkuasa Arab Saudi.

Difahamkan, lelaki itu masih ditahan pihak berkuasa Arab Saudi untuk siasatan lanjut berhubung penggunaan dokumen palsu yang dipercayai dibekalkan satu sindiket.

"Dia ditahan ketika cuba meninggalkan Arab Saudi melalui lapangan terbang di Jeddah, akhir bulan lalu.

"Pihak berkuasa negara itu berasa pelik apabila menemui beberapa dokumen yang menunjukkan lelaki itu mempunyai identiti rakyat Malaysia, sedangkan dia mengemukakan pasport negara jiran.

"Dia ditahan apabila siasatan mendapati lelaki itu sebenarnya dalam jaminan mahkamah berhubung kes subahat khalwat," katanya.

Berikutan itu, lelaki berkenaan mungkin menghadapi satu lagi tuduhan, selain didakwa bersubahat dengan pasangan berkenaan.

Sementara itu, satu sumber lain berkata, kes doktor dan rakannya menggunakan pasport palsu untuk meninggalkan Arab Saudi adalah yang pertama dikesan pihak berkuasa negara itu membabitkan rakyat Malaysia.

"Kita percaya ada sindiket membekalkan pasport palsu dengan mengenakan bayaran sehingga mencecah lima angka," katanya.

-BH-

1 ulasan:

lulu berkata...

kalau dituduh berzina mesti kena sebat 100 kali tu..macam2 la orang sekarang..