Terlajak perahu dapat diundur, terlajak kata badan menanggung;
Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar;
Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.
Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.
Demikianlah antara kalimat yang tersisip dalam peribahasa Melayu yang isi dan maksudnya menyarankan kita supaya berhati-hati apabila berkata-kata. Hal ini demikian kerana kata-kata itu, jika diungkapkan secara serampangan dan maksudnya buruk pula, akan melukakan hati dan perasaan orang yang mendengarnya, malah akan mendatangkan musibah dan padah kepada orang yang berkata-kata itu sendiri.
Hal ini sudah banyak kali terbukti dan dibuktikan. Belajarlah untuk menjadi orang yang beradab. Belajarlah untuk menjadi orang yang berfikir sebelum berkata-kata. Belajarlah menghormati orang lain. Belajarlah berkata-kata dengan baik kerana perkataan yang kita ungkapkan menjadi cermin kepada sahsiah kita.
Mencela insan bukanlah amalan yang mulia apatah lagi insan yang telah meninggal dunia. Hal ini demikian kerana kita telah mencela insan yang tidak dapat menjawab celaan yang dilemparkan kepadanya. Lebih buruk lagi, jika insan yang meninggal dunia itu mempuyai sanak-saudara, celaan yang dilemparkan akan melukakan hati mereka. Tidak mengapalah kalau orang yang mencela itu memang suka melihat sanak-saudara orang yang meninggal dunia itu menangis dan berdukacita dan kebetulan pula mereka tidak bertindak balas. Tetapi, bagaimanakah kalau sanak-saudaranya bukan daripada jenis yang sedemikian? Katakanlah mereka itu tidak akan berdiam diri dan akan bertindak balas kepada si pencela! Apakah yang akan terjadi kepada si pencela?
Begitulah jadinya kepada sahabat yang menyentuh perihal kemangkatan DYMM Sultan Johor dengan cara yang membelakangkan kewarasan akal dan kewajaran adab. Beliau sendiri telah dicela dan tidak cukup dengan itu puluhan laporan polis telah dibuat terhadapnya. Yang paling malang, permohonan maaf beliau diperlekeh orang. Terbukti bahawa pegangan ideologi untuk mempertahankan yang benar dan menyanggah yang salah akan memakan diri kalau dilampiaskan dengan cara yang salah.
Yang baik jadikan teladan, yang tidak baik jadikan sempadan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan