"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan termakan racun media pro BN

Mohd Sabri Said
PULAU PINANG, 30 Jan:
Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Mustaffa Kamal Mohd Yusuf mengingatkan rakyat negeri ini agar jangan terlalu cepat termakan racun yang cuba ditaburkan oleh media pro Barisan Nasional (BN) sebaliknya bertanya kepada kepimpinan yang ada.

Jelasnya, desas desus mengatakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrin Mohd Hashim akan melompat parti hanya mainan politik pihak yang mahu melihat kehancuran PKR dan perpecahan Pakatan Rakyat.

"Setakat hari ini saya sendiri tidak mengetahui hal itu kerana Datuk Zahrin berada di luar negara sejak seminggu lalu. Kenapa tiba-tiba ia menjadi panas. Apa pun kita kena tunggu kepulangan beliau baru semua boleh tahu perkembangan sebenar," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Apapun, katanya perbezaan pandangan merupakan asam garam dalam berpolitik walaupun dalam satu parti kerana manusia mempunyai fikiran sendiri dan kemahuan yang berbeza.

Sebagai seorang pejuang, tegasnya, seseorang itu wajar tidak mendahului keputusan parti bukan tindak tanduk yang boleh mencemarkan keputusan yang akhirnya masalah menjadi buruk.

"Memang tidak dinafikan sesiapa pun ada pandangan yang berbeza. Namun sebagai seorang pejuang parti, tidak harus mendahului keputusan yang diambil, bukan mengeluarkan keputusan kepada media yang senantiasa menanti bagaikan pepatah 'mengantuk disorong bantal',” terangnya.

Jesteru itu, kepada ahli, pendokong parti dan rakyat kena lebih berhati-hati supaya tidak terjebak dalam kancah memusnahkan Pakatan Rakyat yang terbina erat di Pulau Pinang.

Banyak program dan dasar kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah berjaya meresapi di akar umbi serta menjadi bualan semua masyarakat.

"Begitulah usaha yang diinginkan oleh Umno dan BN di sini. Mereka sedaya upaya mencari helah dan punca di mana kesilapan yang muncul mereka akan tekan sehingga nampak kerenggangan antara parti dalam gabungan Pakatan Rakyat," tambahnya.

Tiada ulasan: