Menurut bekas presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Ridzuan Mohammad, keputusan itu dipersetujui bersama oleh naib canselor, Ghauth Jasmon dan kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M).
Sekiranya dakwaan berkenaan berasas, Ghauth bersetuju pilihan raya kampus diadakan semula.
Ghauth juga berjanji akan menyiasat dakwaan yang timbalan naib canselor, Azarae Idris menyalah-gunakan kedudukannya dan terbabit memanipulasikan pilihan raya itu.
Selepas pengumuman butiran perbincangan itu, kumpulan pro-M berarak ke Dewan Tunku canselor untuk meraikan keputusan berkenaan.
Pada masa yang sama, mahasiswa berkenaan turut membakar akhbarKosmo yang didakwa membuat laporan tidak tepat berhubung jumlah kerusi yang dimenangi mereka.
Sebelum ini, lebih 200 pelajar dari kumpulan pro-M yang tewas semalam mengugut akan mengadakan demonstrasi jalanan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.Antara tuntutan awal mereka ialah supaya pilihan raya kampus diadakan semula dan pembatalan pengundian secara berkomputer atau e-undi.
Suasana tegang menyelubungi kampus UM sejak malam semalam dan pagi tadi apabila ratusan mahasiswanya berarak dari Dewan Tunku Canselor ke pejabat Canselori.
Mahasiswa berkenaan memakai lilit kepala putih dengan tertera perkataan 'bantah' dalam tulisan merah.
Mereka berjaya menyerbu serta mengepung pejabat Canselori dan memaksa perjumpaan dengan Ghauth.
Pada awalnya, ketegangan memuncak apabila pelajar mahukan dialog terbuka tetapi ditolak oleh naib canselor.
Sebaliknya, Ghauth mencadangkan perjumpaan tertutup dengan sepuluh wakil yang dipilih oleh pelajar berkenaan.
Turut berada di lokasi adalah kumpulan mahasiswa dari kumpulan pro-Aspirasi (pro-A) yang berjaya menguasai Universiti Malaya dengan menyapu 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi oleh pro-M.
Tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas. Dua daripada calon itu kemudiannya menyatakan sokongan kepada kumpulan Aspirasi.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan