"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saksi Akui Pembayaran Kelulusan 'Calling Visa' Untuk Dana Politik

KUALA LUMPUR: Seorang saksi dalam perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa pembayaran ke atas kelulusan 'calling visa' pekerja Bangladesh adalah untuk dana politik.

Ahli perniagaan Datuk Zulkafli Maulud, 53, berkata beliau mengetahui perkara itu setelah dimaklumkan oleh Datuk Seri Low Chang Hian dan apa yang difahamkannya, wang itu untuk seorang Menteri.

Sebelum menyatakan wang itu untuk dana politik beliau juga menyebut ia sebagai sumbangan politik kepada orang yang sama.

Ditanya oleh peguam V. Sithambaram yang mewakili Wahid dalam pemeriksaan balas, sama ada beliau pernah berhubungan dengan adik ipar menteri terbabit yang dikenali sebagai Syed Abdullah, Zulkafli berkata: "Tidak pernah."

Pada perbicaraan lepas, seorang broker Burugabudeen Mohamed Ismail, 50, memberitahu mahkamah bahawa Syed Abdullah pernah menerima wang daripadanya sebagai upah mempercepatkan permohonan 'calling visa' untuk pekerja asing pada 2008 dan ia adalah untuk dana politik.

Mengikut pertuduhan, Wahid, 57, didakwa menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan Datuk Low Chang Hian sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta, pada 10.15 malam 10 Julai 2008.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama iaitu penjara tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Di awal prosiding, Zulkafli yang terlibat dalam perniagaan menyediakan pekerja, perkapalan dan senjata api memberitahu bahawa beliau telah direman selama lima hari bersama-sama Low dan seorang broker Abdul Jabbar Abdullah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanim Ariffin disambung 29 dan 30 Mac.

-BERNAMA-

Tiada ulasan: