"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ku Li: Umno-BN terjejas jika lawan arus dalam isu royalty

Mohd Zuharman

PASIR PUTEH, 18 Mac: Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak kemungkinan kedudukan Umno-BN akan terjejas pada pilihan raya umum ke-13 jika rakyat Kelantan terus dinafikan hak dapatkan royalti.

“Susahlah sikit kalau tidak bersama dengan apa yang menjadi harapan rakyat. Orang panggil menentang arus.

“Apapun kena tengok pada pilihan raya nanti, sebab saya bukan tok nujum,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Pasir Puteh di Dewan Maahad Saniah dekat sini, petang tadi.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Parlimen Pasir Puteh Mohamed Husein.

Tengku Razaleigh dalam perjalanan ke Kuala Terengganu bagi menyampaikan ceramah berkaitan isu royalti anjuran NGO malam ini.

Hampir dua bulan lalu Tengku Razaleigh menyampaikan ceramah yang sama di Kota Baru dengan menegaskan Kelantan berhak menerima wang royalti lima peratus.

Dalam pertemuan singkat itu beliau sekali lagi mempersoalkan kredibiliti kerajaan Umno yang terus mempertikaikan hak Kelantan dalam isu royalti dengan menganggap sebagai berfikiran sempit.

“Saya rasa sempit sangat pemikiran kita, kalau Umno pun kenapa tak mahu bagi kepada rakyat Kelantan? Apa kerana PAS menang, tak mahu bagi?

“Kalau begitu silap, minyak ini hak rakyat seluruhnya. Soal politik soal lain. Ini soal kehidupan, soal kemajuan rakyat bersama.

“Masalah orang (rakyat) hendak kepada Umno atau PAS itu hak dia (rakyat) masing-masing.

“Duk bercakap 1 Malaysia… 1 Malaysia… tapi macam mana 1 Malaysia kalau sebelah sini ‘rebeh’ (tidak diberi keadilan),” katanya.

Menjawab usaha NGO yang bertindak akan menyerahkan memorandum bersabit isu tuntutan royalti minyak kepada Yang di-Pertuan Agong Sabtu ini, Tengku Razaleigh menyifatkan ia satu tindakan yang baik.

“Baguslah kalau hendak bawa memorandum kepada Agong supaya Agong lebih maklum.

“Tambahan dulu rakyat Terengganu dapat royalti tapi dinafikan selepas ia diperintah PAS,” katanya.

Semalam Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) mengumumkan dua memorandum melibatkan Kelantan dan Terengganu berkaitan tuntutan royalti akan diserah kepada Yang di-Pertuan Agong sempena keberangkatan baginda ke Terengganu Sabtu ini.

Bulan ini genap 10 tahun Terengganu dinafikan hak royalti oleh kerajaan pusat.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: