"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Asri Boleh Pilih UMNO, Kerna Perjuangan Ini Penuh Onak Duri

ramziredang
Kehidupan manusia umpama semut dengan gula, di mana sahaja ada manisan di situ semut akan pergi. Mengerumuni untuk menghisap habuan. Sekalipun seseorang itu ada kelulusan agama yang tinggi, tetapi jika sekiranya gula di dalam hatinya adalah pangkat, maka pangkatlah yang akan dikejar. Jika sekiranya gula di dalam hatinya adalah wang ringgit maka wang ringgitlah yang lebih bernilai baginya. Jika perjuangan Islam adalah gula di dalam hatinya, maka kemanisan perjuangan Islamlah yang akan dikecapinya. Namun manisan perjuangan menegakkan agama perlu dibayar dengan harga yang tinggi.

Agama telah mengajar kita, manisan dunia dan akhirat tidak boleh berada seiring di dalam satu hati. Mesti pilih salah satu dan tolak salah satu. Kerana apabila kita memilih salah satu kemanisan maka dengan sendirinya yang satu lagi berubah menjadi kepahitan. Itulah jaminan dalam perjuangan Islam. Jika kita mengagungkan dunia maka pahitlah bagi kita untuk mengejar akhirat. Jika kita mengagungkan akhirat, maka pahitlah kehidupan dunia. Itulah janji dalam perjuangan Islam. Allah tidak menjanjikan untuk membentangkan kita permaidani empuk jika kita memilih untuk menjadi kekasihnya.

Dr Asri, Harussani, Dr Othman El Muhammady ataupun Nakhaei atau orang orang yang berkelulusan agama, bukanlah orang yang perlu kepada penasihat. Agama sendiri telah menunjukkan jalan kepada sesiapa sahaja. Mereka memang sudah cukup arif. Mereka cukup waras. Mereka sedia maklum. Cuma yang tinggal kepada mereka kini, manisan yang mana yang ingin mereka kecapi. Itu sahaja.

Sudah zaman berzaman, bermula dari Nabi Adam sehingga sekarang konklusinya telah jelas. Jalan hampir kepada Allah sangat jauh. Sedangkan jalan jauh kepada Allah sangat hampir.

Jika ingin lena tidur di atas tilam empuk, sambil melihat ketawa bahagia anak anak kita bermain, melihat senyum isteri yang sentiasa manis, memandu kereta besar sambil sesekali bercuti ke tempat peranginan yang damai, melihat dan mendengar deruan ombak yang lembut, sesekali dijemput ke forum besar, atau di majlis doa yang penuh gah, atau ke majlis talkin pembesar negara maka jalannya terbentang luas di pihak pemerintah.

Namun sebaliknya jalan ini tidak menjanjikan apa apa kemewahan. Jalan ini jalan pahit. Penuh liku. Penuh onak dan duri. Jalan ini penuh dengan airmata. Jalan ini jalan yang memisahkan anak anak ISA dengan bapa tersayang. Jalan ini jalan melihat deraian airmata seorang isteri ISA menanggung derita sendirian. Jalan ini mencengkam perit kerana kekurangan sumber kewangan. Tetapi kebahagiaan mendapat pandangan kasihsayangNYA bagai ingin meletup di dalam hati. Lazatnya linangan airmata bagaikan berenang di dalam lautan madu.

Jalan ini jalan rindu. Rindu terhadap janji janjiNYA. Kerna dia, Rasulullah s.a.w, telah menyimpulkan kepada kita, dunia bukan tempat untuk menuai hasil, kerna Allah dan Para KekasihNya sedang menanti kita disyurga.

Tiada ulasan: