"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rudd Berundur, Australia Dapat PM Wanita Pertama

Parti yang menerajui Australia mengakhiri kepimpinan perdana menteri Kevin Rudd hari ini dengan melantik penggantinya — seorang wanita, Julia Gillard.

Langkah itu juga berjaya mengelakkan pemilihan lewat tahun bagi menyelesaikan krisis kepimpinan.

Dengan keputusan ini Rudd (gambar) dikategorikan sebagai perdana menteri paling singkat memimpin Australia sejak Billy McMahon berhenti pada 1972.

Sokongan kerajaan Buruh merosot sejak April ekoran kegagalan kepimpinan Rudd.
Gillard kelahiran Britain dikatakan menerima sokongan 75 daripada 115 Ahli Parlimen parti Buruh, sekali gus memberi mesej yang jelas kepada Rudd bahawa beliau mesti berundur segera.

Beliau menerima sokongan Menteri Kewangan Wayne Swan, yang akan menjadi timbalannya.
Ancaman terhadap kepimpinan Rudd memuncak malam tadi apabila beberapa pihak dalam Buruh memberitahunya yang beliau sudah hilang sokongan dan Gillard sudah menyatakan kesediaan untuk mencabarnya Oktober ini.

Perdana menteri digesa meletakkan jawatan tetapi berdegil mahu menghadapi pengundian kelak.

Selepas usaha mendapatkan sokongan menerusi panggilan telefon sepanjang malam tadi gagal, Rudd memutuskan untuk tidak berhadapan dengan Gillard, dan menyerahkan kepimpinan kerajaan tanpa dicabar.

Gillard juga dilihat mempunyai sokongan dan kepercayaan luas di kalangan rakyat jelata.
Lulusan undang-undang itu yang lahir di Barry, Wales, berhijrah ke Australia bersama keluarganya pada 1966.

Beliau dilantik sebagai Ahli Parlimen pada 1998.

Kira-kira pukul 9.30 pagi tadi (waktu Australia) jurucakap kokus dan senator NSW Michael Forshaw muncul dari mesyuarat untuk mengisytiharkan Gillard akan menjadi perdana menteri baru Ausralia.

“Pemimpin baru yang dipilih tanpa dicabar ialah Julia Gillard, dan timbalannya Wayne Swan,” kata Forshaw dipetik media Australia pagi ini.

Rudd memenangi pilihan raya pada 2007 dengan kempen Kevin 07.
-Reuters-

Tiada ulasan: