"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Krisis Kelantan: Polis ambil keterangan Ku Li esok

Clara Chooi
KUALA LUMPUR, 18 Jan: Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah akan diambil keterangan oleh polis Kelantan di ibu negara petang esok berhubung kenyataannya mengenai krisis Kelantan tahun lalu.

Sumber-sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa polis Kota Baru akan merakamkan kenyataan anggota kerabat diraja itu di rumahnya di Jalan Langgak Golf di sini 3 petang esok.

Pada sidang media di sini awal bulan lalu ahli politik itu yang mesra dikenali sebagai “Ku Li” memberitahu, beliau masih berpendapat Tuanku Ismail Petra adalah pemerintah Kelantan yang sah dan bukannya anakanda baginda Tengku Muhammad Faris Petra.

Pada 7 Disember lalu, Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata tindakan Tengku Razaleigh (gambar) yang masih mempertikai kedudukan Sultan Kelantan dari segi undang-undang adalah hak dan pandangan peribadi beliau.

Katanya, ini kerana kedudukan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V telah pun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Tengku Razaleigh yang juga bekas menteri kewangan dalam kenyataan kepada medianya masih mempersoalkan status kedudukan Sultan Kelantan dari undang-undang.

Tengku Razaleigh mengeluarkan kenyataan itu selepas diminta mengulas keputusan Sultan Muhammad Ke-V memperkenankan penarikan balik dua anugerah kebesaran negeri, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) dan tauliah pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K) (Al-Muhammadi I).

Pada 5 Disember lalu, Istana Kelantan mengesahkan penarikan balik dua darjah kebesaran itu yang dikurniakan kepada Tengku Razaleigh.

Ini berikutan kenyataannya sebelum itu yang disiarkan akhbar berbahasa Cina dan menyinggung perasaan Sultan Kelantan.
Tuanku Muhammad Faris Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Tengku Razaleigh, 73, yang juga Ketua Umno Gua Musang adalah datuk saudara kepada Sultan Muhammad V sebelah bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: