"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu DNA, Malaysia macam ayam kokok berderai...Isu DNA babi calar imej Malaysia hab halal

Mat Zain Mat Isa
Agak mendukacitakan bagi sebilangan umat Islam, kedatangan Ramadhan tahun ini diiringi perbincangan meluas isu status halal beberapa makanan yang menjadi kegemaran mereka.

Biar pun kek lapis Sarawak dan sosej ayam berpulut mungkin tidak dijadikan sajian utama berbuka puasa kebanyakan kita, pendedahan mengenai kewujudan asid deoksiribonukleid (DNA) babi di dalam makanan tersebut bukan sahaja mengejutkan, malah meninggalkan kesan kepada banyak pihak

Kebanyakan media cetak 3 Ogos melaporkan pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bahawa mentega ‘Golden Churn Creamy Butter’ yang menjadi bahan utama adunan kek lapis Sarawak mengandungi DNA babi. Kenyataan itu adalah sebagai susulan keputusan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) pada 28 Julai yang menetapkan mentega diimport dari New Zealand itu haram untuk umat Islam di atas sebab sama.

Media pada hari ketiga umat Islam menunaikan ibadat puasa itu turut memetik kenyataan Jabatan Kesihatan Perlis berkaitan isu serupa. Hasil analisis jabatan itu mengesahkan sejenis sosej pulut dan kepingan ayam diimport dari Thailand juga mengandungi DNA babi. Kedua-dua produk makanan segera itu dikatakan dijual ramai peniaga di beberapa bazar Ramadhan sekitar Kangar dan menjadi antara kudapan digemari pengunjung.

Sudah tentu pihak paling terkejut ialah para peniaga yang mencari kehidupan dengan kedua-dua produk makanan itu. Biar pun jumlah peniaga dan penjaja yang menjual sosej ayam berpulut tadi mungkin tidak begitu ramai dan hanya terbatas sekitar Perlis sahaja, kes melibatkan kek lapis Sarawak rasanya amat berbeza. Jumlah terlibat dengan perniagaan kek popular itu dikatakan sangat ramai dan rangkaian mereka terdapat di seluruh negara.

Para pengusaha, pengedar dan peniaga kek lapis Sarawak adalah pihak paling terkesan ekoran pendedahan itu. Sebelum ini kebanyakan pengusaha dikatakan tidak menang tangan menyiapkan tempahan untuk keperluan sambutan Hari Raya Idulfitri. Ada yang dikatakan telah mula menyimpan stoknya seawal tiga bulan lalu. Nilai keseluruhan kek-kek lapis yang terpaksa ditarik semula daripada digunakan pelanggan Islam dikatakan berjumlah jutaan ringgit.

Manakala umat Islam secara keseluruhannya sebagai pengguna juga mempunyai sebab untuk amat dukacita dan kesal atas perkembangan ini. Bagi yang baru pertama kali berhasrat menjadikan kek lapis Sarawak sebagai antara penyeri dulang kueh-mueh raya tahun ini, ia mungkin hanya satu kekecewaan kerana hajat itu terbantut. Namun bagaimana pula dengan mereka yang sejak beberapa tahun lalu telah tidak pernah ketinggalan menghidangkan kek tersebut di hari lebaran?

Ertinya unsur-unsur binatang mughalazah itu telah bertukar menjadi darah daging entah berapa juta umat Islam sejak sekian lama. Inilah intipati permasalahan yang amat dikesalkan. Sama ada kes kek lapis mahu pun sosej ayam, kedua-duanya membuktikan betapa lemahnya keprihatinan pelbagai pihak tentang status halal-haram sesuatu makanan yang berada di pasaran.

Sementara rakyat sebagai para pengguna juga bersalah kerana tidak mengambil sikap berhati-hati dan lebih menghalusi soal halal-haram sebelum mengambil apa-apa produk, kelemahan kerajaan selaku pihak berkuasa memantau dan menjamin status halal makanan di pasaran adalah lebih dikesali.

Sedangkan di masa sama para pemimpin negara kita membuka dada di peringkat antarabangsa kononnya Malaysia diiktiraf sebagai hab halal serantau. Kononnya beberapa negara, terutama negara bermajoriti penduduk Islam mengambil contoh dan pelajaran daripada negara kita mengenai industri halal. Malaysia dianggap pelopor dan pemain utama industri itu di rantau ini, kalau pun tidak di seluruh dunia.

Para pemimpin negara boleh berbangga, bahkan sudah ada yang tersangat bangga dengan pencapaian dan pengiktirafan itu. Malangnya, kesungguhan kita mengangkat kesedaran dunia tentang industri halal itu amat tidak konsisten dengan perkembangan dalam negara sendiri. Sudah agak kerap kes-kes pencemaran status halal mengejutkan kita. Hanya beberapa bulan lalu terungkai satu kemusykilan mengenai status minuman import yang pada mulanya dilabelkan sebagai ‘bir halal’. Minuman dengan berbagai perisa buahan itu didakwa halal dan dijual secara meluas di serata negara. Kadar kandungan alkoholnya bagaimana pun disahkan agak tinggi, yakni melepasi tahap dibenarkan untuk minuman ‘halal’.

Sebelum ini kita sudah didedahkan dengan fakta betapa kebanyakan hotel di negara ini tidak mempunyai sijil halal disahkan pihak berwajib. Dikatakan tidak ada negeri terkecuali daripada kes-kes tersebut. Ertinya, segala sajian dan hidangan dijamu para penghuni dan pengunjung kebanyakan hotel terbabit terdedah kepada kemungkinan tidak menetapi spesifikasi halal di sisi syarak. Entah berapa juta umat Islam telah menjamah sajian-sajian tersebut?

Menilai keghairahan pemimpin negara menjulang kalimah halal di persada dunia, adalah tidak munasabah apabila status halal pada sajian dan produk digunakan umat Islam dalam negara sendiri masih di tahap amat meragu dan menyedihkan.

Tidak keterlaluan jika perlakuan pemimpin kita diibaratkan ayam jantan yang gemar berkokok berderai-derai, sedangkan ekornya sendiri masih bergelumang tahi!
-detikdaily-

Tiada ulasan: