"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Prof Madya Dr Abu Hassan: Najib Kecundang Jika Terus Tekan Rakyat


SHAH ALAM, 15 OGOS: Meskipun populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunjukkan beliau berjaya meraih perhatian rakyat berdasarkan kajian Merdeka Centre, ia bagaimanapun bukanlah jaminan pergerakan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kelak. 

Hal ini kerana menurut pensyarah di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, kegagalan Najib mengurus tadbir negara dengan cekap, sudah lama diperhatikan oleh rakyat yang pada bila-bila masa sahaja boleh mengambil keputusan meranapkan impian Najib untuk terus berkuasa.

"Rakyat inginkan suatu petunjuk yang nyata ke mana sebenarnya arah negara ini yang ingin dibawa (oleh Najib) kerana rakyat sudah dalam keadaan tertekan, dalam situasi ekonomi yang semakin dahsyat dan ancamannya kepada masyarakat dengan harga barang yang berlambung-lambung, dengan harga rumah yang sudah tidak terkawal, dengan pengangkutan awam yang sangat-sangat tidak cekap dan tidak membantu.. dan ini memberi kegusaran kepada masyarakat.

"Maka semuanya ini memberi impak dan kita harus ingat kesan langsung ini kepada masyarakat," kata Abu ketika dihubungi Tv Selangor hari ini.

Merdeka Centre dalam kajiannya merumuskan, tidak banyak perubahan yang dibawakan oleh Najib sejak mentadbir negara pada April 2009.

Walaupun mengakui kejayaan media arus perdana mempopularkan pemimpin itu, ia bukanlah jaminan sokongan itu akan diterjemahkan melalui undi.

Penganalisis-penganalisis pula mendakwa Najib sudah mula tidak begitu tegas dalam melaksanakan dasar-dasar sehingga menggambarkan beliau berperwatakan seperti penyandang jawatan itu sebelum ini.

Kelewatan dalam pembaharuan ekonomi, kurang penekanan ke atas Model Baru Ekonomi (MBE) selain ketidakcekapan Najib mengendalikan perkara-perkara yang mendesak seperti Himpunan Bersih 2.0, dilihat antara faktor penyumbang kepada kebimbangan rakyat.

Selain Najib, rakyat juga kata Abu merasakan barisan menteri Kabinet gagal berfungsi dengan sebaiknya dalam menguruskan pentadbiran negara.

"Kesan langsung daripada masalah-masalah yang dikaitkan dengan beliau dan orang-orang di sekeliling beliau (antara faktornya). Yang keduanya ialah kita dapati kemungkinan barisan kepimpinannya yang terdiri daripada menteri-menteri kabinet yang sepatutnya menguruskan negara ini, mungkin dilihat tidak cekap sehingga tidak dapat merealisasikan semua slogan dan kempen serta semua projek yang dinyatakan.

"Jadi gambaran itu memperlihatkan gambaran kelemahan pentadbiran sekarang, jadi sudah pasti ia menyatakan kelemahan keseluruhannya,"jelasnya lagi.

Malah menurut Abu yang juga penganalisis politik dan pengasas Zentrum Future Studies, keseriusan bayangan politik Najib yang akan kecundang itu dibayangkan melalui dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan tidak memberi kesan kepada ekonomi rakyat.

Lantaran itu, kata beliau, rakyat sudah tidak peduli agenda politik mana-mana parti sebaliknya hanya akan membuat keputusan dengan melihat parti mana yang dapat memenuhi keperluan mereka dan bukannya menindas rakyat dari segenap aspek.

"Kita harus ingat seandainya semua projek berlangsung itu tidak berjaya dilaksanakan sepenuhnya hingga ke akhir tahun ini, barangkali rakyat akan menilai prestasi tersebut dan barangkali rakyat mungkin juga akan menilai (dengan) reaksi seperti marah atau memberikan reaksi dalam PRU akan datang, jadi itu yang kita lihat.

"(Oleh itu) kita menyakini jika transformasi ini tidak dibuat, tidak dijayakan dan jika parti pembangkang pandai memperjelaskan kegagalan ini, pastinya rakyat akan faham.. sebab rakyat mana yang mahu hidup dalam keadaan tertekan dan derita? Sebab kita mahu hidup dalam keadaan berkebajikan dan sejahtera.

"Kita inginkan pendidikan percuma, kesihatan percuma, kita ingin rumah yang murah dan jadi sudah pasti akhirnya rakyat membandingkan dengan negara-negara yang sangat sempurna seperti Switzerland, Finland, kenapa hidup mereka mudah dan selesa, jadi rakyat akan berfikir tentang ini,"katanya lagi.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat berulang kali mengingatkan ekonomi negara di bawah pentadbiran Najib Razak semakin nazak dan mencemaskan banyak termasuk pelabur
dalam dan luar negara.

Baru-baru ini Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat turut menegur cara urus tadbir kerajaan Najib Razak.

Beliau berkata pentadbiran negara di bawah Najib Razak bukan sahaja memperlihatkan banyak kepincangan malah kesan langsung ekonomi negara juga turut menjadi kayu pengukur kepada rakyat dalam menentukan nasib mereka sendiri pada pilihan raya umum akan datang.

Selain iu, katanya angka-angka ekonomi terkini yang baru diumumkan membayangkan ekonomi negara akan terus malap selain dari kerugian ratusan bilion ringgit yang dialami pelabur di Bursa Kuala Lumpur sejak minggu lalu.

Rafizi turut menyentuh Keputusan agensi pelaburan dan penganalisa pasaran memotong unjuran pertumbuhan ekonomi negara di bawah paras 5% bagi tahun 2011
menjadi tanda-tanda bahawa dasar dan inisiatif ekonomi yang menjadi tonggak pentadbiran Najib Razak seperti (Program Transformasi Ekonomi , Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Model Ekonomi Baru) telah gagal sejak dari awal-awal lagi.

Rafizi berkata, jika prestasi ekonomi terus malap seperti yang diunjurkan, Program Transformasi Ekonomi akan gagal sebelum memasuki tahun kedua kerana ia mensasarkan pertumbuhan ekonomi 6% setahun untuk mencapai sasaran Pendapatan Kasar Kebangsaan (GNI) per kapita sebanyak RM48,000 menjelang 2020 yang diuar-uarkan.

Pertumbuhan ekonomi tahunan di bawah angka 5% setahun bermakna Program Transformasi Ekonomi telah gagal menarik minat pelabur walhal kerajaan menumpukan sepenuh tenaga, fokus dan jentera kerajaan untuk mempromosikannya.

Jika ia gagal menarik perhatian dalam tahun pertama dan di kemuncak promosinya, keadaannya mungkin lebih parah pada 2-3 tahun akan datang.

Malah tambah Rafizi lagi, prestasi tiga penanda aras ekonomi yang paling utama (iaitu kekalutan di Bursa Kuala Lumpur, unjuran pertumbuhan yang semakin rendah saban hari dan kegagalan menarik pembiayaan swasta bagi projek-projek utama di bawah Program Transformasi Ekonomi) sudah cukup untuk membayangkan kegagalan dasar dan inisiatif ekonomi Datuk Seri Najib Tun Razak.
-tvsnews-

Tiada ulasan: