PETALING JAYA: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor mendakwa FBC Media bekerjasama rapat dengan APCO Worldwide untuk melobi kerajaan Amerika Syarikat bagi pihak kerajaan Barisan Nasional (BN).
Nik Nazmi Nik Ahmad, Adun Seri Setia berkata kedua-dua firma perunding antarabangsa itu terlibat dalam usaha mempromosi Malaysia sebagai sebuah negara yang pro-perniagaan dan pro-perubahan termasuk reformasi dan pengenalan dasar anti-keganasan.
“Apa yang dipertikaikan di sini bukanlah amalan mendapatkan khidmat penasihat media atau firma hal ehwal awam tetapi lebih kepada firma-firma ini dibayar berhubung program yang diterbitkan untuk meningkatkan imej kerajaan-kerajaan tertentu dengan tidak mempedulikan laporan yang objektif.
“Putrajaya dan Kuching dipercayai membayar FBC Media beratus juta ringgit untuk perkhidmatan strategik komunikasi dan penerbitan program mesra-kerajaan, yang jelas bercanggah dengan etika dan undang-undang media yang fundamental,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Namun katanya, kedua-dua Putrajaya dan Kuching telah menafikan dakwaan ini. Memandangkan isu ini menjadi perhatian media antarabangsa maka sikap membisu mereka sungguh menyakitkan hati.
“Sebaliknya, pertubuhan media yang terlibat seperti BBC dan CNBC memberi gambaran bahawa tuduhan terhadap FBC Media ada asasnya,” kata beliau yang juga Pengarah Komunikasi PKR.
Menurutnya, BBC telah membatalkan semua program firma itu dan sedang menjalankan siasatan bagaimana pihaknya boleh menyiarkan program yang sepatutnya tidak berat sebelah yang diterbitkan oleh FBC Media yang dibiayai oleh Putrajaya itu.
Ujar beliau, “CNBC juga menarik balik program World Business yang diterbitkan oleh FBC Media. Harus diingat program ini memaparkan wajah para pemimpin BN dalam beberapa segmen programnya.
“Akhirnya, Ofcom, pihak berkuasa komunikasi United Kingdom, menjalankan siasatannya sendiri atas dakwaan berat sebelah oleh FBC Media,” terang beliau.
Oleh yang demikian katanya, kami mendesak Putrajaya dan Kuching menjelaskan peranan dan sejauh mana penglibatan mereka dalam kempen haram perhubungan awam ini. Ironinya, skandal ini timbul ketika penapisan dibuat terhadap majalah The Economist berhubung isu Bersih 2.0.
“Kesannya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa akur terhadap keperluan mengkaji semula dasar-dasar penapisan negara.
“Kita mahu Najib menjelaskan bagaimana beberapa ratusan juta ringgit wang pembayar cukai digunakan untuk mengupah FBC Media, bukan untuk membina imej negara tetapi untuk kepentingan partinya,” kata Nik Nazmi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan