"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cina Mahu Mat Sabu tanding Di Bukit Bintang


Subky Latif

TIDAK dipastikan ramai mana orang MCA sudah meninggalkan parti itu menyertai parti dalam Pakatan Rakyat. Ramai yang keluar itu mengikut Chua Jui Meng menyertai KeADILan. Tidaklah mereka menyertai PAS. Tetapi mereka menunjukkan sikap terbuka dan mesra kepada PAS.


Seorang bekas timbalan menteri yang pernah memimpin MCA Bukit Bintang, kawasan yang padat pengundi Cina di Kuala Lumpur yakin 75 peratus pengundi Cina akan mengundi Pakatan Rakyat termasuk PAS.

Di mana saja PAS bertanding pengundi Cina yang dulunya me ngundi DAP dan Barisan Nasional (BN) akan memberikan undinya kepada PAS kali ini, katanya.

Hatta di kawasan padat pe ngundi Cina yang sebelum ini dimenangi oleh DAP, mereka sedia me ngundi calon PAS.

Bagi membuktikan keyakinannya, dia mengesyorkan supaya Timbalan Presiden PAS, Mohamad (Mat) Sabu bertanding di Bukit Bintang di kawasan dia pernah menjadi pemimpin MCA.

Dia yakin Mat Sabu akan mendapat majoriti yang besar bagi mengalahkan calon Barisan Nasional daripada MCA.

Sekalipun calon BN itu Cina bertanding dengan Mat Sabu, seorang Melayu dan PAS pula, dia percaya pengundi Cina memilih Mat Sabu. Dia sendiri akan bekerja kuat mengajak penyokong MCA dulu mengundi Mat Sabu.

Dia yakin penyokong DAP di kawasan itu akan menerima Mat Sabu seperti calon-calon DAP sebelum ini.

Penyokong DAP tidak berubah bahkan bertambah dengan pengundi baru. Jika penyokong MCA dulu yang sedia berubah itu memberi undi kepada Ma Sabu, calon itu akan dapat undi lebih besar daripada yang didapati oleh DAP sebelum ini.

Tetapi saya kata kepadanya, Bukit Bintang adalah kawasan DAP sejak tahun 70- an pada zaman Lee Lam Thye. Berundinglah dengan Lim Guan Eng, katanya. Mat Sabu adalah kawan baik Guan Eng. Minta satu kawasan daripadanya dan PAS berilah pula satu kawasannya kepada DAP.

Dapatkah persetujuan daripada KeADIL an supaya memberi satu kawasan yang dimenanginya di Wilayah Persekutuan, tentu DAP tidak sukar untuk memberi satu kerusi kepada Mat Sabu.

Orang Cina memang tertarik dengan keberanian Mat Sabu dan ucapannya yang berani dan lantang mendedahkan kelemahan dan kepincangan kerajaan dan pemimpin Umno dan Barisan Nasional digemar oleh pengundi-pengundi Cina.

Lagipun Mat Sabu tegas. Sudah berapa kali dia ditahan di bawah ISA, dia tidak berganjak dan tidak berubah.

Penyokong dan pemimpin DAP percaya Mat Sabu jadi begitu adalah kerana tarbiyah yang diterima dalam PAS. Mereka menghormati sistem tarbiyah yang ada dalam PAS menyebabkan tidak ada MP dan Adunnya yang melompat parti.

DAP mengaku, ia malu ada wakil rakyatnya melompat. Ia adalah disebabkan DAP tidak ada tarbiyah itu. Itu akuan beberapa orang DAP yang saya temui.

Bekas pemimpin MCA yang mencadangkan Mat Sabu bertanding di Bukit Bintang itu bukan kerana dia hendak mengelakkan kawasan itu terus diwakili oleh DAP.

Sesudah berada dalam Pakatan Rakyat, mereka menerima siapa saja calon yang diputuskan oleh pimpinan Pakatan. Tetapi bagi menunjuk dan membuktikan pengundi Cina sedia mengundi PAS, cuba letakkan Mat Sabu bertanding di Bukit Bintang.

Saya tidak menolak akan sikap pengundi Cina bersedia memberi sokongan kepada orang yang disukainya sekali pun calon itu bukan Cina yang bertan ding de ngan pengundi Cina.

Pengundi Cina suka kepada Karpal Singh. Bertan ding dengan Cina mana pun mereka akan menyokong Karpal Singh.

Suatu masa dulu Cina Ipoh menyokong Seenivasagam bersaudara yang memimpin PPP. PPP meletakkan lebih ramai calon keturunan India dan Selon (Ceylon) di Lembah Kinta daripada calon Cina bertanding menentang calon Cina daripada Perikatan. Semua calon Cina itu kalah.

Kemudian setelah PPP menyertai Barisan Nasio nal, seorang pemimpin Cinanya, peguam Cina yang terkemuka, Kong Kok Yat menjadi anggota Parlimen dan menjadi ketua utama dalam Majlis Perbandaran Ipoh yang dikuasai oleh PPP kalah di kerusi Dun di salah satu kawasan di Ipoh kepada calon DAP, seorang Melayu dipanggil Pak Saleh yang bekerja sebagai buruh dalam Majlis Perbandaran itu.

Kong Kok Yat adalah bos di majlis itu. Dia dikalahkan oleh calon DAP Melayu yang menjadi buruhnya.

Saya teringat menjelang pilihan raya umum 1986, saya telah ditetapkan bertanding di Parit Buntar. Ia dikira kawasan yang terbaik bagi PAS. Dalam pilihan raya sebelumnya calon PAS kalah kecil di situ.

Banyak masa saya berkempen di Perak termasuk di Ipoh dan menyampaikan ceramah kepada pengundi Cina.

Seorang SB Melayu yang ditugaskan untuk memantau PAS bertugas di Sungai Siput. Dia tidak menyembunyikan dia SB dan selalu ada dalam ceramah saya.

Suatu hari dia bercakap dengan saya memberitahu supaya saya jangan bertanding di Parit Buntar tetapi bertanding di Ipoh. Mengikut tinjauan pengundi Cina suka kepada saya.

Dia cadangkan supaya saya berunding dengan DAP. Dia tahu saya kenal Lim Kit Siang. Dia cadangkan saya minta Kit Siang setuju memberi satu kawasan di Ipoh kepada saya, saya boleh menang.

Tetapi kalau saya bertanding di Parit Buntar, saya akan kalah.

Saya kata, adakah cadangannya itu untuk melihat saya kalah di Ipoh dan hilang peluang untuk masuk Parlimen. Dia bersungguh bagi meyakinkan saya kalau DAP bersetuju memberi laluan kepada saya di Ipoh, maka saya pasti menang. Saya pun percaya akan pandangannya.

Saya balik ke Kuala Lumpur membincangkan dengan pemimpin PAS tentang hasil risikan SB itu. Tetapi pemimpin PAS tidak berani untuk mengambil risiko dan ketika itu PAS dan DAP pantang bertemu. PAS tidak mahu keadaan itu akan menyulitkan PAS menghadapi bom asap Umno yang menjadikan muafakat sulit PAS dan DAP sebagai isu bagi menyulitkan PAS di kalangan pengundi Melayu. Dan saya percaya apa yang cadangkan oleh SB itu boleh berlaku.

Arus itu tidak berubah hingga sekarang. Pengundi Cina terus membuat kejutan menyokong calon seperti Mat Sabu.

Bekas orang kuat MCA menyebut nama Mat Sabu itu mungkin bukan sangat disebabkan dia sudah berada dalam Pakatan Rakyat, tetapi ciri-ciri pemikiran dan sikap orang Cina yang ada padanya suka kepada orang yang berani dan ada pendirian.

Bahkan semasa dia berada dalam MCA, hati kecilnya boleh berfikiran begitu dan tidak mustahil menyokong calon yang ada ciri demikian sekalipun disiplin BN dan MCA itu mengendaki dia mengundi calon partinya.

Dia berkata, kalau Mat Sabu bertanding di Bukit Bintang, kita dapat tunjukkan satu contoh 1-Malaysia yang baik. Walaupun 1-Malaysia itu satu slogan retorik yang dicipta Najib tetapi kita buktikan kita melaksanakannya.

Katanya, kita akan te ngok pengundi Cina daripada penyokong DAP dan pengundi MCA dulu akan memberi sokongan kepada calon Melayu daripada PAS dan daripada pihak yang memperjuangkan Islam pula.

Dulunya pengundi bukan Islam tidak mungkin menyokong calon yang memperjuangkan Islam dan mahukan negara Islam pula.

Tetapi sekarang PAS mahu menegakkan negara kebajikan untuk semua termasuk orang bukan Islam daripada berbagai-bagai agama. Dalam perkembangan sekarang penganut agama lain tidak bermasalah untuk menyokong Mat Sabu.

Ini peluang kita tunjukkan kita boleh jayakan 1-Malaysia. Bekas orang kuat MCA itu tidak nampak Najib dan Umno boleh jayakan 1-Malaysia.

Tiada ulasan: