"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Puak-puak anti hadis terus membelasah JAWI dan mempertahankan Kassim Ahmad

ratnaothman001_300x200
PETALING JAYA: Pengarah Eksekutif Sisters In Islam, Ratna Osman hari ini mempertahankan sarjana kontroversi, Kassim Ahmad yang dikatakan telah mengecam Islam dalam satu seminar di Putrajaya pada bulan Februari apabila membuat kenyataan bermaksud bahawa sesetengah umat Islam memuja Nabi Muhammad dan menyatakan bahawa Islam tidak memerlukan wanita untuk menutup rambut mereka.

“Pada pendapat saya, Jawi telah menyalahgunakan kuasa mereka untuk menangkap Pak Kassim. Sebagai sebuah Jabatan yang membawa nama Islam, mereka seharusnya mencerminkan keperibadian sebenar Islam. Islam itu indah. Agama kita tidak pernah mengajar untuk bersifat kasar antara satu sama lain lebih-lebih lagi dengan warga tua.

“Saya faham Jawi bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas mereka akan tetapi, harus diingatkan bahawa setiap manusia punyai pendapat yang berbeza. Adakah kerana Pak Kassim tampil dengan pendapatnya, beliau dilayan seolah-olah beliau telah melakukan jenayah berat?

“Pada fikiran saya, ada lebih baiknya untuk JAWI selesaikan masalah kes-kes berhubung suami yang tidak memberi nafkah kepada anak-anak selepas kes penceraian. Pergi tangkap orang-orang itu dahulu sebelum tangkap Pak Kassim,” katanya kepada FMT.

Menurut Ratna, agak menghairankan apabila Jawi bersungguh untuk menahan Kassim Ahmad, sedangkan beliau tinggal di Alor Setar, Kedah.

“Itu merupakan di luar bidang kuasa Jawi memandangkan Pak Kassim berada di daerah Alor Setar, seharusnya, Jabatan Agama Islam Kedah yang patut turun padang untuk teliti akan perkara ini. Bukan terus tangkap Pak Kassim, mereka sepatutnya membuat penyelidikan terdahulu.

“Bercakap mengenai perbezaan pendapat dalam Islam, jika kita tengok pada golongan cerdik pandai dalam Islam, setiap daripada mereka ada pendapat masing-masing. Islam tidak pernah mengajar kita untuk menghukum seseorang kerana pendapat dia berbeza dengan pendapat kita. Ingat, perbezaan pendapat diizinkan dalam Islam,” katanya.

Tambahnya, semua umat Islam di seluruh dunia memiliki kepercayaan mazhab masing-masing. Jika seseorang itu mempraktikkan mazhab Hanafi, dan kita di Malaysia rata-ratanya mengikut mazhab Shafie, adakah kita patut mengadili atau menghukum orang tersebut? Masing-masing ada kepercayaan dan pendapat sendiri. Kita harus hormat dengan pendirian setiap orang, bukankah Islam itu mudah dan indah?

“Konsep Islam adalah luas. Jawi seharusnya lakukan kajian terlebih dahulu, mereka harus menggambarkan Islam ini adalah agama yang adil. Ini tidak, seorang warga tua yang berumur lingkungan 80-an keluarkan kenyataan yang mereka rasa tidak boleh diterima, terus pergi tangkap. Adilkah itu?

“Pada saya, JAWI tidak hormat pada proses undang-undang di Malaysia. Mereka patut tahu limitasi mereka. Ya saya akui, Jawi ada kuasa, tetapi ingat, Jawi bukanlah Nabi. Pegawai-pegawai yang pergi tangkap Pak Kassim hanyalah manusia biasa.

“Bukankah Allah SWT telah berpesan kepada Nabi Musa AS dan juga Nabi Harun AS supaya berdialog dengan Firaun dengan menggunakan tutur kata dan bahasa yang lemah lembut. Firman Allah SWT yang bermaksud: Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”. (Surah Taha, ayat 43-44).

“Sedangkan Firaun yang begitu jahat sehingga mengaku dialah Tuhan pun, Allah SWT pesan untuk cakap baik-baik. Inikan pula Pak Kassim,seorang warga tua, yang saya kira, kita perlu hormat dan bukan berkelakuan kasar terhadap beliau. Pak Kassim bukan Firaun,” katanya.

Ratna turut menyarankan supaya adanya ‘healthy dialogue’ di antara kedua-dua pihak. Beliau turut menyelar pihak Jawi yang sanggup datang jauh dari Kuala Lumpur untuk menangkap Pak Kassim seolah-olah beliau sangat berbahaya.

“Sisters In Islam telah beroperasi selama hampir 20 tahun. Di sini, kami menekankan konsep Al-Rahman dan Al-Rahim di mana kami pegang kepada prinsip pemurah dan penyayang. Sesebuah Jabatan Agama harus mencerminkan keperibadian sebenar Islam.

“Jawi jangan takbur dalam melakukan tugas anda. Ya, anda memang ada kuasa untuk menangkap orang tapi bukan dengan cara begini. Pak Kassim tidak perlu dilayan bak seorang penjenayah. Biarkan beliau dengan pendapatnya.

“Setiap ulama ada pendapat masing-masing dalam agama, siapa kita untuk adili mereka? Yang berhak untuk mengadili sama ada sesuatu perkara itu benar atau salah, hanya Allah SWT. Hanya dia yang layak dan hanya dia yang tahu, Allahualam,”ujarnya.

Tiada ulasan: