SELENA TAY
PADA 6 Mei hingga 6 Jun lalu, penulis ini telah membuat tinjauan rakyat yang merangkumi 100 orang pengundi atas pagar yang mengundi di KL.Ramai daripada responden iaitu 40 peratus daripada mereka menyatakan bahawa untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan datang, mereka akan “mengundi sesiapa saja yang dapat membantu mereka.” Ungkapan di atas memang satu petanda yang bahaya untuk Pakatan Rakyat.
Justeru, sudah tiba masanya untuk Pakatan menubuhkan satu ‘think tank’ (kumpulan pemikir) yang diwakili oleh sekurangkurangnya tiga orang masing-masing daripada PAS, KeADILan, DAP dan PSM (Parti Sosialis Malaysia).
Pilihan Raya Kecil Teluk Intan jelas menunjukkan bahawa sesuatu mesti dilakukan oleh Pakatan untuk mendapat kembali segelintir sokongan rakyat yang telah balik kepada pihak musuh.
Situasi ini tidak boleh dibiarkan begini kerana kalau ia berterusan maka Pakatan mungkin akan menerima kejutan pada PRU14 nanti.
Pakatan mesti selalu ingat bahawa pihak musuh amat berkuasa dan kuasa mereka tidak boleh dibendung.
Ini bererti jika Pakatan tidak mempunyai perancangan awal, maka pihak musuh akan terus dapat meraih kembali sokongan rakyat terutamanya sokongan daripada pengundi atas pagar yang mudah dipengaruhi oleh media musuh.
Harus ingat bahawa sumber Pakatan adalah terhad. Justeru, kalau Pakatan tidak serius mengambli langkah untuk merancang dan menyusun strategi dan kerjasama mulai sekarang, maka tidak mustahil Pakatan akan kalah teruk dalam PRU14 apabila momentum sudah hilang dan rakyat lebih gemar menyokong pihak yang akan menang.
Sebaik-baiknya, Pakatan wajar menubuhkan think tank tersebut selepas Hari Raya Aidilfitri. Pakatan tidak boleh mengamalkan sikap leka dalam isu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan