Kuantan: Berang akibat anak ditampar dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak menendang warga emas sehingga tersembam seperti dalam rakaman video yang tersebar di laman sosial Facebook (FB) sejak kelmarin.
Rakaman berdurasi 1 minit 9 saat itu dirakam di kedai makan di Bukit Goh, di sini, kira-kira 3 petang, Jumaat lalu dan dimuat naik seorang pengguna FB kira-kira 11 malam, Ahad lalu sehingga mendapat pelbagai reaksi dan kecaman daripada orang ramai.
Dalam rakaman itu, seorang pemuda berusia awal 30-an tiba-tiba menendang lelaki warga emas berusia lingkungan 60-an hingga terjatuh sebelum cuba memukulnya dengan kerusi namun dihalang orang ramai yang berada di tempat kejadian.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan sudah memohon maaf dengan warga emas itu dan rakaman 'perdamaian' antara mereka turut dimuat naik ke laman FB.
Menurut sumber, lelaki dipercayai berasal dari negara jiran itu gagal mengawal perasaan selepas warga emas terbabit mengaku menampar anak lelakinya berusia empat tahun, namun dia menyesali perbuatan itu dan sudah memohon maaf secara bersemuka.
"Tidak dapat dipastikan punca warga emas berkenaan menampar anak lelaki itu, namun perselisihan faham antara mereka sudah diselesaikan dengan cara baik dan mereka juga sudah berdamai malah lelaki itu juga sudah menerima balasan atas perbuatannya," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Katanya, lelaki terbabit mengaku menyesal dengan perbuatannya itu serta menangis selepas ditunjukkan rakaman berkenaan tetapi hasrat untuk mengadakan pertemuan semula bertujuan memohon maaf dengan keluarga mangsa tidak kesampaian.
"Dia bersama anak dan isterinya kini tiada di rumah dipercayai sudah pulang ke negara asal kerana bimbang keselamatan diri selepas video perbuatannya itu menjadi viral di Internet dan mendapat kecaman ramai pihak selain bimbang dikenakan tindakan undang-undang.
"Saya difahamkan kes ini sudah dimaklumkan kepada polis dan kini dalam perhatian pihak berkenaan namun pada masa sama, saya berharap orang ramai tidak terus menyebar video itu sebaliknya membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan," katanya.
-hmetro-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan