Delhi: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun mati dicampak dari bas oleh konduktornya selepas dicabul sekumpulan lelaki di atas kenderaan itu.
Ibunya yang turut diserang dan diganggu juga mengalami kecederaan dalam kejadian di Punjab itu.
“Mereka tidak henti-henti mengganggu kami dan tiada sesiapapun menghentikan bas itu.
“Akhirnya kami dicampak keluar,” kata si ibu yang dirawat di hospital.
Menurut polis, dua beranak itu menaiki bas berkenaan lewat kelmarin sebelum konduktor dan dua penumpang lain termasuk seorang tukang cuci mula mengganggu serta meraba mereka.
Remaja terbabit maut serta-merta akibat kecederaan parah di kepala.
Jurucakap polis daerah Moga, H S Pannu berkata: “Mereka kemudian ditolak sebelum akhirnya dicampak keluar dari bas yang masih bergerak laju itu.”
Sehubungan itu, pemandu serta konduktor dan dua lagi pekerja syarikat itu sudah ditahan dan didakwa atas pelbagai tuduhan termasuk membunuh, mencabul dan melakukan kesalahan terhadap golongan kasta rendah.
Syarikat bas itu dimiliki sebahagiannya oleh keluarga Ketua Menteri Punjab Parkash Singh Badal yang turut menyatakan kekesalannya atas kejadian berkenaan.
Kejadian itu yang terbaru dalam beberapa siri serangan ganas terhadap wanita di India. Pada 2012 seorang pelajar fisioterapi mati selepas dirogol beramai-ramai secara kejam dan dicampak dari bas mencetus kemarahan rakyat negara itu.
-hmetro-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan