"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ustaz PAS akan tanam mufti ini dekat jirat juga ke?

Mufti PP: RUU355 bukan hukum Allah

Mufti Pulau Pinang menyuarakan rasa sedihnya terhadap tindakan segelintir ahli agama yang mengkafirkan orang Islam yang tidak bersetuju dengan rang undang-undang (RUU) bagi meminda akta Mahkamah Syariah.

Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata beliau tidak menafikan peri pentingnya memperkasa mahkamah syariah, tetapi RUU itu belum lagi dimuktamad dan dibentangkan.

“Biarlah ia dibincang terlebih dahulu dengan teliti dari pelbagai aspek oleh pihak legislatif dengan tujuan penambahbaikan.

“Moga-moga dengan perbahasan yang bebas akan menghasilkan satu undang-undang yang adil untuk dilaksanakan ke atas seluruh warganegara,” katanya dalam kenyataan yang antaranya diedarkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Kerajaan sebelum ini memberi laluan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkannya RUU persendirian itu untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

Hadi bagaimanapun memohon ditangguhkan untuk sidang bulan depan atas alasan tidak cukup masa untuk dibentangkan.

Baru-baru ini, tersebar meluas video seorang ustaz di Internet yang memberi amaran untuk menanam Presiden PKR Datuk Wan Azizah Ismail di kubur Cina jika tidak menyokong RUU itu.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada mufti Pulau Pinang itu merujuk langsung kepada kes tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, Wan Salim juga berkata anggota parlimen tidak wajar dipaksa atau diugut menyokong RUU itu menggunakan alasan terjejas akidah jika menolaknya.

“Memang seorang Muslim wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT yang sakral.

“Tetapi RUU 355 bukan hukum Allah SWT. Ini hanya merupakan satu langkah ke arah memperkasa dan memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia yang akan dibentangkan nanti.

“Kemungkinan wujud kekurangan dan kelemahan tertentu di dalam RUU tersebut yang perlu diperbaiki sebelum dijadikan undang-undang,” katanya.

Katanya, sebaiknya pihak kerajaan membentangkannya supaya kelihatan lebih serius dan tidak dilihat sebagai gimik politik semata-mata.
-malaysiakini
---------

RUU 355: PAS Bidas Mufti Pulau Pinang

SHAH ALAM: Kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor bahawa Rang Undang-undang 355 tidak boleh disama taraf sebagai undang-undang Allah kerana ia usaha manusia, dilihat seolah-olah menjaga kepentingan politik parti tertentu.

Sambil membidas kenyataan itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali sebaliknya berkata, usul yang bakal dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah bagi menegakkan perintah Allah.

“Apa kehendak Allah? Kehendak Allah ialah RUU ini memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk menghukum pesalah syariah berdasarkan syariat Allah.

“Adakah selama ini dengan Akta 355 yang memberi kuasa kepada mahkamah syariah menghukum pesalah syariah hanya sekadar 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebatan itu bertepatan dengan syariah?

“Adakah mufti memperakui perkara ini? Adakah mufti bersetuju Akta 355 ini bertepatan dengan syariah?,” kata Khairuddin yang dipetik sebuah portal.

Semalam, Wan Salim meminta mana-mana pihak agar tidak mengkafirkan orang yang tidak bersetuju dengan usul Hadi yang mahu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Wan Salim berkata, seseorang tidak wajar memaksa mana-mana ahli parlimen menerima RUU 355 dengan apa jua cara termasuk mengugut.

“Memang seorang Muslim wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh ALLAH SWT, tetapi RUU 355 hanyalah satu langkah ke arah memperkasa dan memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia,” petik kata mufti itu semalam – AP

Tiada ulasan: