"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa Ketua Wanita Umno Bahagian dapat dana MARA RM5 juta?

ARIF ATAN
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub memberitahu terdapat seorang Ketua Wanita Umno Bahagian yang menerima dana pelaburan MARA yang dipanggil 'The Baron'.

Walau bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi Umno itu enggan menyebut nama pemimpin wanita yang dikatakan memperoleh peruntukan di bawah MARA mencecah RM5 juta itu.

"Saya nak maklumkan, tak perlu saya namakan seorang Ketua Umno Wanita Bahagian telah mendapat dana RM 5 juta untuk perniagaan wanita tersebut," katanya ketika berucap dalam pelancaran Skim Pembiayaan Khas Wanita (DanaNita), di ibu negara semalam.

Semakan Malaysia Dateline mendapati The Baron adalah antara program pembiayaan perniagaan MARA bagi usahawan bumiputera di peringkat menengah selain Program Peruncitan, Program Smart Auto dan Kedai Hardware.

Menurut Ismail, program pinjaman khusus untuk kontraktor itu terbuka kepada semua lelaki dan perempuan.

Turut hadir, Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas, Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno.

Selain itu, Pengerusi Sementara MARA dan Pelaburan MARA Berhad (PMB) Datuk Dr. Yusof Yacob dan juga Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.

Dalam majlis berkenaan juga, Ismail memberitahu Mara memperuntukkan sejumlah RM35 juta menerusi program pembangunan usahawan DanaNita bagi menggalakkan penglibatan secara aktif wanita dalam bidang perniagaan.

Tambahnya lagi, DanaNita yang dilancarkan itu bertujuan melahirkan usahawan wanita yang baharu sebagai pelapis kepada kepimpinan masa depan serta membantu usahawan sedia ada supaya lebih berdaya saing.

Tiada ulasan: