"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sah sekolah tahfiz Ittifaqiyah sengaja dibakar

Hanya kerana ejek-mengejek tujuh remaja tergamak memulakan kebakaran di bangunan asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Dato Keramat, Kuala Lumpur yang mengorbankan lebih 20 orang kelmarin.

Mereka dipercayai tinggal di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata tiga pelajar tahfiz itu diambil keterangannya bagi membantu siasatan.

Memetik sumber, portal itu menyatakan penahanan itu dibuat hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah stesen minyak di Jalan Dato Keramat.

Katanya semua tujuh suspek berusia antara 11 hingga 18 tahun itu ada yang masih bersekolah dan ada yang tidak bersekolah.

"Polis juga merampas baju, seluar dan motosikal yang dimiliki suspek," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur malam ini.

Dengan tangkapan itu juga katanya polis percaya kes berkenaan sudah diselesaikan.

Terdahulu media melaporkan rakaman CCTV menunjukkan terdapat kelibat dua lelaki menaiki motosikal membeli minyak petrol jam 1.30 pagi, beberapa jam sebelum kebakaran pusat tahfiz berkenaan.

Kata Amar Singh, polis mendapati dua tong gas yang ditemui di luar pintu asrama berkenaan dibawa dari tingkat bawah.

Difahamkan suspek dipercayai sengaja mengunci pintu bilik asrama sebelum meletakkan tilam sebagai penghadang, sebelum menghalakan muncung tong gas ke arah pintu bilik asrama pelajar dan guru terbabit.

Mereka kemudian menyalakan api dengan bantuan minyak petrol.

Dalam kejadian awal pagi 14 September itu 21 pelajar dan dua guru tahfiz meninggal dunia dan sejumlah yang lain cedera apabila sebahagian daripada bangunan Darul Quran Ittifaqiyah terbakar.

Pada awalnya pihak berkuasa menjangkakan insiden itu berpunca daripada litar pintas namun siasatan lanjut mendapati wujud unsur khianat di sebaliknya.

Ia adalah kejadian kedua terburuk membabitkan pusat pengajian Islam di negara ini selepas kebakaran bangunan asrama perempuan Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah dijilat api di Padang Lumat, Yan di Kedah pada Pada 22 September 1989.

Insiden malang itu mengorbankan nyawa 27 pelajar.

Kata Amar Singh selepas suspek terbabit ditahan polis menjalankan ujian air kencing ke atas mereka. Keputusan menunjukkan enam daripada mereka positif ganja.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan dengan lebih lanjut siapa yang negatif dalam ujian berkenaan.

Katanya tangkapan mula dibuat antara jam 6 petang semalam hingga 2.30 pagi tadi. Polis kemudian mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menahan mereka selama tujuh hari sehingga 22 September ini.

Katanya siasatan setakat ini menunjukkan remaja terbabit memang sengaja mahu membakar bangunan berkenaan kesan daripada insiden ejek-mengejek sebelum itu.

Kata Amar Singh, polis akan melakukan apa yang sewajarnya terhadap siasatan berkenaan, iaitu melengkapkan laporan dan menyerahkan kepada Peguam Negara yang akan menentukan tindakan selanjutnya.

"Pada polis tiada tangkapan lain akan dibuat setakat ini," katanya.

Sementara itu Amar Singh meminta orang ramai tidak terus menyebakarkan sebarang maklumat berkaitan butiran tangkapan dan laporan kes berkenaan.

Katanya tindakan itu dibimbangi boleh menjejaskan proses perundangan yang akan diambil selepas ini.
-malaysiakini

Tiada ulasan: