"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Di ambang ribut politik, Azmin gesa Najib hormati demokrasi

Kalau Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali tergugat sekalipun dengan rampasan kuasa yang hampir berlaku di Selangor sehingga menyebabkan pembangkang kehilangan negeri berharga itu, beliau tentunya bijak menyembunyikan kegusarannya, malah ada mesej kepada Perdana Menteri Najib Razak yang dipercayai mendalangi cubaan rampasan kuasa itu.

"Bagitahu Najib, dia kena bertanggungjawab menghormati prinsip demokrasi dalam negara,” kata Azmin dengan tenang kepada The Malaysian Insight hari ini.

Apabila ditanya sekiranya berita tentang lompat parti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor meletakkan PKR dan kepimpinan negeri dalam risiko, Azmin hanya menepis dan berkata Najib sebenarnya yang perlu menjaga kedudukannya yang semakin goyah.

"Yang berisiko itu Najib sebab dia seorang pemimpin yang tidak menghormati prinsip demokrasi dan keputusan yang dibuat rakyat."

Sidang media khas Najib pada Ahad lalu dilaporkan bertujuan menyambut bekas menteri besar Selangor, Muhammad Taib dan lapan ADUN PKR yang dikatakan akan berpaling tadah menyokong Umno seterusnya menyebabkan kepimpinan kerajaan negeri bertukar tangan kembali kepada Barisan Nasional.


Bagaimanapun, hanya Muhammad, 72, yang hadir mengumumkan kepulangannya ke pangkuan parti orang Melayu itu.

Di Selangor, DAP mempunyai kerusi paling banyak iaitu sebanyak 14, diikuti PAS dan PKR dengan 13

Baki dua kerusi lagi dipegang ADUN bebas, Loh Chee Heng (Teluk Datuk) yang dipecat daripada DAP pada 2016 dan kerusi Pelabuhan Klang pula dipegang bekas Menteri Besar, Khalid Ibrahim yang juga dipecat oleh partinya, PKR.

Dengan 34 ADUN, BN mampu merampas kembali kerajaan negeri, mengulangi tindakan BN merampas Perak daripada Pakatan Rakyat pada 2009 selepas tiga ADUN daripada DAP dan PKR menjadi wakil rakyat mesra BN.

Berikrar setia

Menteri besar Selangor itu juga enggan mengulas apakah beliau masih percaya dan yakin pada ADUN dalam kerajaannya.

ADUN Selangor dari PKR yang dihubungi oleh The Malaysian Insight semalam menafikan dakwaan ada dalam kalangan mereka yang akan lompat parti dan menegaskan kerajaan pimpinan Azmin masih teguh.

Ada antara mereka yang menyifatkan perkara itu ditimbulkan untuk sebagai helah "menutup malu" selepas sidang media penting yang digembar-gemburkan itu hanya untuk mengumumkan kemasukan semula Muhammad.

Bagaimanapun, penganalisis berkata Azmin dan pemimpin negeri tidak boleh terlalu cepat mengabaikan ugutan BN yang mahu merampas Selangor, negeri terkaya negara itu.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, lebih bijak sekiranya Azmin terus berjaga-jaga kerana Selangor terlalu penting untuk BN dan parti komponen utamanya, Umno.

“Selama dua penggal, politikus dari Selangor terpaksa bergantung nafas kepada kerajaan Persekutuan bagi memperolehi projek dan kontrak sebagai nadi pergerakan mereka.

“Dengan penguasaan optimum pihak pembangkang di Selangor, Umno hanya mampu melihat dari jauh bagaimana kemewahan negeri itu  tanpa gugur dalam kantung Umno Selangor,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Situasi ini, katanya, menyebabkan Umno dan BN terdesak untuk merampas kembali Selangor.

“Umno sudah tentu akan mengintai segenap ruang dan peluang untuk memastikan mereka dapat mengambil alih negeri yang bernilai emas ini daripada parti yang memerintah sekarang walau dengan apa cara sekalipun,” katanya.
-MalaysianInsight

Tiada ulasan: