DR Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan mengapa pimpinan Umno mengganggap kembalinya Muhammad Muhammad Taib ke dalam parti itu satu perkara yang besar sehingga perlu mengadakan sidang media khas untuk mengumumkannya.
“Saya hairan kenapa Najib (Presiden Umno Najib Razak) dan Zahid begitu anggap kemasukan Mat Taib ini sebagai satu peristiwa yang besar sehingga ada sidang media khusus untuk ini.
“Ini menunjukkan bahawa memanglah benar Najib ini melihat geng dia balik. Ini geng dialah,” tambahnya.
Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003, mengulas mengenai Muhammad yang kembali menyertai Umno dalam satu video yang dimuat naik hari ini.
Najib hari ini mengumumkan Muhammad kembali menyertai Umno daripada PKR dalam satu sidang media khas di ibu pejabat Umni di PWTC.
“Beliau menyedari perjuangan parti pembangkang, khususnya PKR adalah sia-sia," kata Najib yang juga perdana menteri dan pengerusi Barisan Nasional.
Dr Mahathir , bagaimanapun menyifatkan Muhammad seperti seekor katak yang melompat dari satu parti ke pasti yang lain.
“Saya amat gembira kerana Tan Sri Muhammad Muhammad Taib lompat balik ke bawah tempurung parti Umno. Dia ini bersifat macam katak.
“Dari Umno dia lompat masuk PAS, dari PAS dia lompat masuk PKR, dari PKR pula dia menyatakan sokongan kepada saya dalam parti Bersatu. Sekarang ini kaki masih kuat, dia lompat masuk bawah tempurung.
“Tahniahlah saya ucapkan kepada Umno. Ada banyak orang macam Mat Taib, akan jamin Umno akan kalah dalam pilihan raya,” kata pengerusi PH yang brusia 92 tahun itu.
Dr Mahathir berkata beliau masih ingat kes Muhammad ditahan di Australia dengan beg yang oenuh berisi wang.
“Alasan yang dia beri kata dia tak faham bahasa Inggeris sebab itu dia langgar undang-undang.
“Tapi ini bukan langgar undang-undang. Saya tahu dia boleh bahasa Inggeris. Duit itu entahlah datang dari mana, banyak juga,” katanya.
Muhammad dipaksa meletakkan jawatan sebagai menteri besar pada April 1997 selepas dia didakwa di Australia kerana penyelewengan mata wang sebanyak RM3.8 juta.
Muhammad dilaporkan mengaku tidak faham peraturan kewangan kerana tidak faham bahasa Inggeris. Dia didapati tidak bersalah.
“Orang macam ini kita tak boleh percaya sangat sebab itu dia kena buang. Orang macam ini kalau dia bawa beg, beg dia kita kena periksa. Ada duit ataupun tidak,” katanya.
Kembalinya Muhammad menyertai Umno gagal menarik minat oemimpin Pakatan Harapan dan penganalisis politik yang menyifatkan pengumuman itu bukan satu perkara besar. – 17 September, 2017.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan